fbpx
Saka ibu mentua Linda dikatakan enggan keluar dari rumah, biarpun tuannya telah meninggal dunia. – Ilustrasi Shah Hasan

Saka ibu penunggu rumah pusaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANJANG berkahwin, wanita itu menjalani kehidupan normal sebagai pasangan suami isteri.

Meskipun Linda (bukan nama sebenar) lebih tua daripada suaminya, namun dia terima baik terutamanya oleh ibu mentuanya.

Satu perkara yang Linda kagum dengan keluarga suaminya adalah wajah ibu mentuanya yang tampak awet muda.

Malah pernah suatu ketika, dia menganggap wanita itu kakak kepada suaminya.

Katanya, biarpun ibu mentuanya telah berusia 70 tahun, namun dia kelihatan seperti baru cecah 40-an.

Bagaimanapun, apabila ditanya tentang rahsia awet muda, ibu mentuanya sering mengelak untuk menjawab.

“Ibu mentua saya memang cantik, kalah anak dara, saya memang kagum dengannya. Sedangkan saya yang baru 30-an, kelihatan lebih berusia.

“Namun di sebalik kejelitaan itu, dia seorang yang garang. Jika ada salah di matanya, habis dibebel olehnya,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Pernah sekali Linda terpecahkan pinggan, ibu mentuanya yang berada di ruang tamu terus meluru ke dapur, sebelum membebel kepadanya.

Masih ingat lagi kata-katanya: “Habislah harta aku semua nak dipecahkan, barang ini bukan ada lagi, susah nak cari.”

Hal ini juga berlaku kepada menantu yang lain, jika melakukan kesalahan di depan mata ibu mertuanya. Ada yang terasa hati dan ada yang masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Salah satu harta paling berharga ibu mentuanya yang tidak boleh diusik oleh sesiapa adalah motosikal yang digunakan untuk ke pekan.

Ditakdirkan umur ibu mentua tidak panjang, dia meninggal dunia pada usia 75 tahun disebabkan kemalangan jalan raya ketika hendak ke pekan.

“Waktu itu, saya baru menelefonnya untuk meminta resepi masakan. Tidak sangka lepas itu dia meninggal akibat kemalangan.

“Dia kemalangan di simpang jalan besar. Keadaannya sangat parah dan dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya.

Katanya, keadaan jasad ibu mentuanya penuh dengan luka-luka disebabkan kemalangan.

Menurut Linda, setelah meninggal, barulah kelihatan ibu mentuanya memang sudah sangat berusia dan berbeza sama sekali ketika dia hidup.

“Saya rasa pelik tetapi kerana suami sangat sedih ketika itu, saya mendiamkan sahaja perkara berkenaan,” ujarnya.

Linda dan suami bersama adik-beradik yang lain tinggal di rumah ibu mentuanya selama lima hari bagi menguruskan majlis tahlil di masjid.

Sepanjang lima hari itu, Linda rasa ada yang tidak kena. Bulu romanya sering merinding seolah-olah ada yang memerhatikannya di dalam rumah itu.

Hal sama turut berlaku kepada biras lain, malah ada yang masih terngiang-ngiang bebelan ibu mentuanya.

Keadaan menjadi bertambah seram apabila salah seorang biras terpecahkan pinggan semasa berkemas di dapur.

“Ketika itu, kami mendengar dengan jelas bebelan ibu mentua. Perkataan yang disebutkan sama seperti ketika saya pecahkan pinggan sebelum ini.

“Kami semua terus berasa seram apabila suara itu semakin kuat,” kongsinya.

Hal sama berlaku ketika suami Linda cuba menghidupkan motosikal ibu mentua. Dia juga terdengar jeritan ibunya: “Jangan sentuh motor aku.”

Selepas merasakan ada yang tidak kena, suami Linda terus mendapatkan khidmat ustaz untuk memeriksa keadaan rumah.

Selepas diperiksa, ustaz tersebut beritahu bahawa ibu mentua Linda ada membela saka dan makhluk ghaib itu tidak mahu keluar dari rumah selagi tidak jumpa tubuh pengganti.

“Selepas mengetahui hal itu, kami terus bergegas pulang ke rumah masing-masing kerana bimbang diganggu saka.

“Sehingga kini, kami tidak lagi pulang ke rumah berkenaan, dan ia terbiar begitu sahaja,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN