fbpx
EMPAT selebriti, Neelofa, Siti Nurhaliza, Aina Abdul dan Fazura tak pernah tercorot bab gaya biarpun kekal imej santun berhijab penuh gaya.

4 selebriti tak hilang stailo sebab berhijab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INDAHNYA syariat apabila dipadukan dengan seni fesyen, menjadikan busana bukan sekadar pelindung aurat malah lambang maruah serta gaya hidup berkelas.

Berhijab tidak pernah menjadi penghalang untuk tampil menawan, malah menjadi ruang bagi wanita mengekspresikan cita rasa elegan kaum Hawa dengan penuh santun.

Dalam dunia hiburan, deretan selebriti membuktikan hijab bukan titik noktah bagi perjalanan fesyen malah mereka tampil sebagai simbol kekuatan wanita moden, berkeyakinan penuh dalam menyulam iman dengan trend semasa. Aura mereka bukan sahaja memukau kamera, malah menjadi inspirasi buat wanita lain mengekalkan kesantunan sambil tetap mengangkat martabat fesyen muslimah.

Setiap helaian pakaian, setiap warna yang dipilih, seolah-olah menceritakan kisah tersendiri tentang keanggunan, pengorbanan, dan maruah seorang wanita berhijab.

Gala minggu ini menampilkan empat figura tersohor berhijab, namun tetap kekal fashionista dalam kelas tersendiri.

Fazura

NAMA Fazura bukan sekadar sinonim dengan lakonan, malah juga lambang keanggunan wanita berhijab moden.

Sejak memilih berhijab, Fazura tidak menolak dunia fesyen, sebaliknya menyesuaikan gaya agar selari dengan jiwa baharunya.

Gaya pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin itu sering sarat dengan elemen romantis.

Dress longgar, fabrik chiffon, dan warna pastel menjadi pilihan, memberi imej lembut, namun tetap penuh daya tarikan.

Fazura ialah bukti nyata bahawa elegan tidak memerlukan keterbukaan aurat, sebaliknya lahir daripada keyakinan, jiwa, dan aura semula jadi.

Aina Abdul

Berani, unik dan penuh eksperimen, itulah Aina Abdul. Meskipun berhijab, penyanyi bersuara lantang itu tetap berani mencipta identiti fesyennya sendiri di pentas hiburan.

Pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani itu sering tampil dengan gaya avant-garde yang kadangkala tidak terfikir dek akal.
Pemilihan potongan luar biasa, fabrik berlapis, serta aksesori dramatik menjadikannya lain daripada yang lain.

Hijabnya pula sering diolah kreatif agar menyatu dengan keseluruhan gaya malah setiap penampilan bukan sekadar pakaian, tetapi sebuah karya seni yang mencetuskan perbincangan.

Ramai mungkin melihat fesyen pelantun Puas Sudah itu sebagai pelik, namun di situlah letaknya keistimewaan.

Aina Abdul membuktikan bahawa berhijab bukan penghalang untuk terus bereksperimen dalam dunia fesyen, malah menjadi inspirasi bagi wanita yang berani tampil berbeza.

Datuk Seri Siti Nurhaliza

Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak pernah tersisih dalam perbualan fesyen muslimah. Sejak berhijab, penampilannya semakin matang dan penuh wibawa, seiring status sebagai Biduanita Negara.

Busana yang digayakan pelantun Sehebat Matahari itu sering sarat dengan keanggunan pilihan potongan klasik, rona elegan serta aksesori sederhana, menjadikan penampilannya mewah tetapi tetap bersahaja.

Di pentas konsert mahupun acara formal, ibu dua anak itu sentiasa memastikan busana berhijabnya menepati syariat.

Dalam masa sama, beliau berjaya mengekalkan imej glamor, membuktikan keseimbangan antara kesopanan dan kemewahan menjadi lambang bahawa keindahan hijab akan semakin bersinar apabila digayakan dengan penuh keyakinan dan niat yang tulus.

Neelofa

Neelofa ibarat ‘ratu gaya’ yang terus mengekalkan mahkota fesyen biarpun kini berniqab sepenuhnya

Keberanian pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd. Noor itu melangkah ke ruang fesyen dunia walau dengan keterbatasan penampilan wajah, membuktikan fesyen muslimah mampu menembusi sempadan konvensional.

Tidak keterlaluan andai disifatkan setiap langkah bekas pengacara MeleTOP itu menggambarkan selektif, eksklusif, dan penuh karisma.

Busana yang dipilih tidak pernah berlebihan, malah cukup teratur. Fabrik mewah, potongan longgar, serta warna elegan menegaskan bahawa fesyen muslimah mampu mengangkat martabat kelas antarabangsa.

Isteri kepada pendakwah bebas Haris Ismail itu juga menjadikan busana berhijab sebagai inspirasi perniagaan fesyen miliknya sekali gus membuktikan gaya berhijab boleh diterjemahkan ke dalam dunia komersial tanpa mengorbankan prinsip agama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI