fbpx
MALAYSIA mempunyai undang-undang bagi menangani komen melampau, tetapi komen negatif yang terlalu banyak sukar ditapis secara manual oleh pihak berkuasa. - GAMBAR HIASAN

Wajarkah tutup ruangan komen di FB, TikTok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ANTARA fungsi yang paling popular dalam media sosial seperti Facebook dan TikTok ialah ruangan komen. Menerusi ruangan ini, ia membolehkan netizen memberi reaksi segera terhadap sesuatu posting.

Bagaimanapun, persoalan besar timbul apabila komen yang ditinggalkan sering kali berbentuk negatif, fitnah, berunsur provokasi dan memburukkan individu atau pihak tertentu, pihak berkuasa mahupun kerajaan.

Persoalannya di sini, wajarkah pengendali platform berkenaan menutup ruangan komen? Isu ini besar kerana ia melibatkan kebebasan bersuara, hak rakyat dan keselamatan negara.

Kebebasan bersuara tidak terkawal kadangkala bertukar menjadi kebebasan menghina, manakala provokasi pula boleh mencetuskan perpecahan masyarakat.

Satu ayat penuh kebencian boleh menyalakan api perbalahan yang merebak pantas.

Malaysia mempunyai undang-undang bagi menangani komen melampau, tetapi komen negatif yang terlalu banyak sukar ditapis secara manual oleh pihak berkuasa.

Malah, kebanyakan mereka yang berbuat demikian menggunakan akaun palsu.

Sebanyak 10,167 akaun palsu dan 130 kandungan berunsur fitnah telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan itu sejak tahun 2022 hingga 1 Mac lalu.

Jika ruangan komen ditutup sepenuhnya, sudah tentu tiada lagi yang boleh memberi reaksi melampau, tetapi tindakan itu akan membawa implikasi besar terhadap kebebasan bersuara rakyat.

Ruangan komen sering menjadi suara demokrasi digital untuk rakyat menegur, mengkritik atau menyuarakan pandangan terhadap sesuatu isu atau dasar kerajaan.

Majoriti rakyat sebenarnya lebih rasional, tetapi suara mereka tenggelam kerana tidak seaktif kumpulan yang suka mengkritik.

Menutup ruangan komen boleh menyebabkan suara positif turut terpadam.

Dalam menapis komen-komen negatif, teknologi kecerdasan buatan (AI) mungkin boleh digunakan.

Facebook, TikTok dan platform lain boleh menapis secara automatik komen berunsur makian, fitnah atau provokasi.

Dengan cara ini, kebebasan bersuara tidak ditutup sepenuhnya, tetapi disaring daripada unsur berbahaya.

Platform juga perlu mewajibkan pengguna hanya boleh meninggalkan komen jika mereka mendaftar dengan identiti sebenar.

Ini sekali gus mengurangkan keberanian pengguna untuk menulis sesuatu yang melampau kerana mereka tahu akan kesan dan akibatnya.

Bagi isu-isu sensitif seperti kes mahkamah, jenayah berprofil tinggi atau isu perkauman, menutup ruangan komen buat sementara adalah wajar bagi mengekang spekulasi dan menjaga keharmonian sementara siasatan dijalankan.

Pendekatan seimbang perlu diambil, ruangan komen kekal dibuka, tetapi dengan kawalan pintar melalui teknologi, tindakan undang-undang dan pendidikan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN