fbpx
Gambar Janaan AI keluarga sandwic yang terdiri, ibu bapa, datuk, nenek dan cucu.

Generasi sandwic tidak lemah, mereka ‘terbeban’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Di sebalik wajah tabah ramai anak muda hari ini, tersembunyi beban berganda yang semakin berat. Siang hari mereka bekerja mencari rezeki, malam pula memikul amanah lain yang perlu dilunaskan.

Mereka bukan sahaja perlu memberi perhatian kepada anak kecil, tetapi juga kepada ibu bapa yang semakin uzur dan bergantung harap.

Mereka ini dikenali sebagai generasi sandwic, iaitu kumpulan masyarakat yang tersepit antara dua generasi tetapi tetap menunaikan amanah dengan sabar.

Menurut Prof. Nurul Aishah Khairuddin dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya, anak muda kini berperanan sebagai pencari nafkah, penjaga harian, dan penyokong emosi kepada dua pihak sekali gus.

“Beban ini bukan sekadar soal kewangan. Ramai yang berada dalam usia produktif terpaksa menangguhkan cita-cita kerjaya.

“Ada juga yang menukar pekerjaan atau menyambung pengajian terhalang kerana terikat dengan tanggungjawab keluarga. Mobiliti sosial mereka terbatas,” katanya kepada Kosmo!.

Lebih mencabar lagi, katanya, sebahagian besar daripada mereka berdepan pekerjaan kontrak atau tidak stabil, di samping menanggung pinjaman pendidikan, bayaran rumah, dan kenderaan.

Katanya, apabila ibu bapa memerlukan rawatan atau penjagaan khas, keperluan diri mereka sering terpaksa dikorbankan. Akibatnya, ada yang menangguhkan perkahwinan, memiliki anak atau membeli rumah.

“Tekanan psikologi perlahan-lahan menghakis keyakinan diri. Masa untuk berehat, menjaga kesihatan mental dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga juga sering terkorban.

“Malah, anak-anak turut merasai kesannya kerana mereka membesar dalam suasana kewangan yang sempit dan ibu bapa yang sentiasa keletihan,” ujarnya.

Kongsi Nurul Aishah, isu tersebut bukan semata-mata masalah peribadi tetapi mencerminkan kelemahan sistem sokongan sosial negara.

“Malaysia masih kekurangan cuti penjagaan khas, insentif cukai dan kemudahan komuniti yang mampu meringankan beban penjaga. Ramai warga emas pula tidak mempunyai simpanan persaraan mencukupi,” katanya.

Tambahnya, beberapa negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan telah memperkenalkan dasar penjagaan komuniti serta sokongan khusus kepada penjaga keluarga bagi membantu mengurangkan tekanan kewangan dan menyediakan perkhidmatan sokongan.

Antaranya pusat jagaan harian warga emas, khidmat nasihat kesihatan mental dan bantuan kewangan berstruktur.

Malaysia juga perlu melangkah ke arah yang sama dengan menyediakan insentif cukai kepada isi rumah yang menyara dua generasi, serta cuti penjagaan ibu bapa di sektor awam dan swasta.

Jelas Nurul Aishah, membina sistem sokongan bukan semata-mata soal ekonomi, tetapi juga soal maruah dan keadilan sosial.

“Generasi sandwic tidak lemah, sebaliknya mencerminkan struktur masyarakat yang masih belum cukup menyokong kedua-dua hujung kehidupan.

“Jika langkah tidak diambil segera, negara berisiko memiliki generasi pertengahan yang terlalu letih untuk menjadi tonggak masa depan,”
katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN