PADANG BESAR – Rakyat Malaysia yang mahu bercuti di Thailand dinasihatkan supaya membeli insurans perjalanan selain mematuhi undang-undang pelancongan negara itu.
Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-ASEAN, Aida Oujeh berkata, ia penting kerana kos rawatan di hospital Thailand boleh mencecah ratusan ribu baht.
“Sekiranya berlaku kemalangan, insurans akan melindungi pelancong. Kos perlindungan insurans untuk rawatan hospital boleh cecah 500,000 baht (RM66,400), manakala pampasan kematian pula mencecah satu juta baht (RM132,000).
“Kami dapati masih ramai pelancong Malaysia yang memandang ringan kepentingan insurans ketika melancong ke Thailand,” katanya.
Menurut Aida, insurans amat membantu dan lebih mudah diuruskan sekiranya pelancong menggunakan khidmat agensi pelancongan negara itu.
Katanya, rakyat Malaysia juga diingatkan supaya tidak menggunakan van persendirian tanpa pemandu pelancong Thailand kerana ia melanggar undang-undang negara itu.
“Thailand menetapkan semua kenderaan pelancongan mesti berdaftar. Jika menggunakan van persendirian tanpa permit sah, pemandu boleh dipenjara atau denda sehingga 300,000 baht (RM39,800),” jelasnya.
Beliau berkata, pihak berkuasa Thailand mengambil serius isu keselamatan.
“Pelanggan mungkin tidak tahu perkara ini tetapi pemandu dan pemilik van boleh dikenakan tindakan berat,” katanya.
Dalam masa sama, Aida turut mengingatkan pelancong Malaysia supaya mematuhi budaya jalan raya di Thailand.
“Jangan bunyikan hon sesuka hati kerana masyarakat Thailand menganggapnya kurang ajar. Hon hanya boleh digunakan ketika kecemasan sahaja,” ujarnya.
Selain itu, pemandu diingatkan supaya berhati-hati kerana pada waktu ini, selatan negara alami musim hujan dan jalan raya agak licin.
Sementara itu, di Bukit Kayu Hitam, Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata, sempadan Malaysia-Thailand mengalami kesesakan luar biasa apabila 17,030 orang berpusu hendak ke negara Gajah Putih itu.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 15,718 adalah rakyat Malaysia diikuti 975 warga Thailand, Indonesia (85), China (50), India (22) dan negara lain (180).
“Jumlah keseluruhan pengembara yang keluar masuk pada semalam (kelmarin) adalah 21,971 orang yang ingin bercuti,” katanya di sini semalam.
Menurut Mohd. Nasaruddin, bagi laluan masuk ke Malaysia pula merekodkan seramai 4,941 orang.
Tambahnya, kesesakan itu dijangka berlaku sehingga 21 September depan dan pengembara diminta menyusun perjalanan lebih awal dan bersabar.
Pelancong Malaysia, Zulaikha Amira Zolkafli, 28, dari Perak berkata, dia bercuti ke Bangkok bagi menghadiri konsert dan sesi bertemu peminat seorang artis terkenal dari negara tersebut.
“Kami dah lama rancang. Saya mengembara secara solo dengan menaiki kereta api bagi mencari pengalaman baharu seperti ‘cafe hopping’ di Thailand,” katanya.
Seorang guru, Elina Ahmad, 30, berkata, dia bersama rakan-rakan serta ahli keluarga dari Johor sudah membuat perancangan sejak tiga bulan lalu.
“Saya pernah bercuti di sana sebelum ini dan kali ini destinasi kami adalah Hatyai. Pengalaman saya sebelum ini sangat menarik dan tidak menimbulkan masalah.
“Hatyai menjadi tarikan utama kali ini kerana kami ingin menikmati keenakan makanan selain merasai pengalaman membeli-belah di pusat bandar wilayah Songkhla itu,” ujarnya.















