ALOR SETAR – Hasrat sepasang kekasih untuk bertunang selepas lima bulan menyulam cinta berkecai apabila mereka dibunuh akibat ditikam dengan objek tajam dalam kejadian yang bermotifkan cemburu di Taman Nona, Guar Chempedak di Yan, dekat sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 9.40 malam itu mengakibatkan Ku Asyraf Ku Shuib, 30, dan bakal tunangnya, Nurul Nur Syamira Khamis, 28, mati serta-merta di lokasi pembunuhan.
Mayat Nurul Nur Syamira ditemukan di tempat duduk penumpang depan kereta Proton Wira, manakala mayat Ku Asyraf pula tertiarap di atas jalan di hadapan sebuah rumah dengan beberapa kesan tikaman pada badan.
Jarak lokasi mangsa lelaki ditemui dengan kereta adalah kira-kira tujuh meter.
Ku Asyraf menjalankan perniagaan telefon bimbit di sebuah pusat beli-belah di sini.
Kedua-dua mereka dikatakan diserang seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan wanita terbabit. Ku Asyraf berasal dari Yan, menakala si wanita dari Sungai Petani, dekat sini.
Difahamkan, suspek dipercayai menikam mangsa wanita terlebih dahulu sebelum menyerang Ku Asyraf. Kejadian itu disedari penduduk sebelum melaporkannya kepada polis.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah berkata, pihaknya masih menyiasat motif sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya sambil memberitahu suspek masih diburu.
Sementara itu, bapa Nurul Nur Syamira, Khamis Abdul Rahim, 55, dia terkejut apabila dimaklumkan kejadian tersebut oleh polis yang datang ke rumahnya di Sungai Petani pada pukul 2 pagi.
Katanya, anaknya sudah bercerai dengan bekas suami sejak lebih setahun lalu, namun kedua-dua mereka tetap berhubungan kerana mempunyai dua anak lelaki kecil.
“Saya merestui hubungan kedua-dua arwah, namun meminta mereka menangguhkan perkahwinan sehingga pembinaan rumah di Selama, Perak selesai.
“Kalau ikutkan mereka memang nak melangsungkan perkahwinan secepat mungkin, namun tidak kesampaian. Pelakunya perlu dikenakan hukuman setimpal,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Menurut Khamis, tindakan suspek menikam anak dan bakal tunangnya sehingga mati merupakan perbuatan kejam.
Tambahnya, kawan lelaki anaknya sangat baik dengan datang berjumpanya untuk meminta izin berkawan dan bertunang dengan arwah Nurul Nur Syamira.
Sementara itu, di Yan, suasana sebak menyelubungi kawasan perumahan itu apabila bapa Allahyarham Ku Asyraf, Ku Shuib yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 1.40 pagi dan merintih siapa yang tergamak membunuh anaknya sambil duduk di bahu jalan.
“Allahuakbar, depa tikam dia kat mana? Allahuakbar kita dok dengar cerita orang lain, ini kena kat anak kita pula,” rintihnya sambil melihat polis menjalankan siasatan.
Menurut Ku Shuib, anaknya baru sahaja pulang ke rumah dan keluar semula, berkemungkinan untuk menghantar telefon bimbit dipesan pelanggannya.
“Anak saya balik sekejap dan ada tinggalkan telefon di rumah sebelum keluar. Tidak lama selepas dia keluar, polis pula sampai (maklumkan kejadian).
“Arwah anak yang baik, tak pernah sakitkan hati. Saya dok harap kat dia sahaja. Saya ingat saya yang pergi dulu, tengok dia pergi dulu,” luahnya.
Difahamkan Ku Aysraf merupakan duda anak satu. -KOSMO! ONLINE














