YAN – Polis sedang mengesan bekas suami kepada wanita yang ditemui maut dengan beberapa kesan tikaman di Taman Nona, Guar Chempedak, di sini malam tadi bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah berkata, pihaknya juga masih menyiasat motif kejadian.
“Kita akan melakukan siasatan secara menyeluruh daripada semua segi dalam usaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki berusia 30 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun maut akibat ditikam dalam kejadian di Taman Nona, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, mangsa lelaki dijumpai dalam keadaan terlangkup di atas jalan di hadapan sebuah rumah di situ, manakala mangsa wanita di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira.
Jarak lokasi mangsa lelaki ditemukan dengan kereta adalah kira-kira tujuh meter. – KOSMO! ONLINE