PETALING JAYA – Wartawan bebas, ZRA Strim atau nama penuhnya Zainal Rashid Ahmad bersama anaknya, Ilham Fansuri, mengesahkan akan meneruskan penyertaan mereka dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza walaupun berdepan cabaran kesihatan dan kebebasan sebagai media bebas.
Pengumuman itu dibuat selepas spekulasi bahawa mereka mungkin pulang ke tanah air susulan penjelasan ZRA dalam sesi siaran langsung semalam, yang menyebut faktor kesihatan dan keselamatan sebagai pertimbangan utama.
Namun, ZRA menegaskan keputusan akhir dibuat selepas menilai keperluan misi dan sokongan masyarakat.
Perkara itu disampaikan oleh salah seorang pasukan ZRA Strim ketika sesi siaran langsung di Facebook semalam.
“Atas faktor kesihatan yang agak terjejas tuan haji (ZRA), tuan haji request (buat permohonan) untuk pulang (tanah air) awal. Tetapi kita dimaklumkan tadi pada pukul 8 malam, tuan haji mesej maklumkan dia jadi pergi.
“Insya-Allah tuan haji dan Ilham sah akan berlayar pada esok hari (hari ini). Kita sentiasa mendoakan, dan berharap orang ramai dapat doakan tuan haji dan Ilham atas faktor kesihatan, keselamatan juga dan buat semua aktivis,” katanya. – KOSMO! ONLINE