KUALA LUMPUR – Malang terus menimpa beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong.
Pada perlawanan yang berlangsung di Hong Kong Coliseum sebentar tadi, gandingan No.2 dunia itu terpaksa akur tewas 13-21, 13-21 kepada beregu England, Ben Lane-Sean Vendy.
Kekalahan itu pastinya sesuatu yang mengejutkan memandangkan Aaron-Wooi Yik turun dengan status pilihan utama kejohanan selain berdepan lawan di ranking ke-15 dunia.
Berdasarkan aksi yang dipamerkan bekas juara dunia itu, mereka seperti bergelut untuk menampilkan prestasi sebenar apabila banyak melakukan kesilapan mudah.
Pasangan lawan dari Eropah itu dilihat tidak berdepan banyak masalah mengutip mata demi mata dan hanya memerlukan masa kurang setengah jam untuk melangkah ke pusingan kedua.
Terdahulu, Aaron-Wooi Yik kempunan untuk meraih gelaran dunia kedua mereka di Paris, Perancis selepas tersingkir di suku akhir pada Kejohanan Badminton Dunia bulan lalu.
Sebagai rekod, pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik itu boleh dianggap menampilkan aksi cukup konsisten musim ini selepas memenangi Terbuka Thailand, Terbuka Singapura selain menjadi juara Asia. – KOSMO! ONLINE














