Koko Malaysia semakin mendapat tempat di pentas dunia apabila diraikan dalam bentuk festival berskala besar menerusi penganjuran Tastefully Food Expo 2025 baru-baru ini.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Selangor, acara tersebut bukan sahaja mempertemukan pemain industri makanan tempatan dan antarabangsa, malah menonjolkan koko sebagai kebanggaan negara dalam dunia kulinari global.
Para pengunjung berpeluang merasai sendiri seleksi pastri, pencuci mulut berasaskan koko serta inovasi produk makanan terkini.
Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, Datuk Dr. Ramle Kasin berkata, acara tersebut merupakan salah satu usaha dalam mempromosikan produk koko tempatan.
“Acara kali ketiga diadakan ini merupakan kerjasama Lembaga Koko Malaysia di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi untuk mempromosikan koko bersama Tastefully Malaysia Sdn. Bhd. (Tastefully Malaysia).
“Bersama Tastefully Malaysia, kami menjayakan satu lagi bentuk program promosi supaya lebih banyak penggunaan koko dan coklat dalam confectionery (pencuci mulut),” katanya.
Ramle menambah, pihaknya berhasrat untuk terus membuat promosi di peringkat domestik dan antarabangsa berkenaan penggunaan serta khasiat yang ada dalam produk koko.
Lebih daripada 200 reruai pelbagai jenama makanan tempatan dan antarabangsa turut serta dalam ekspo tersebut.
Pada tahun ini, ekspo tersebut mengetengahkan dua tema utama yang berlangsung serentak iaitu ‘Pastry & Cocoa Festival: A Journey with Malaysia Cocoa’ dan ‘Taste of Malaysia: Eat, Explore, Experience’.

Kedua-dua tema tersebut membawa pengunjung menyelami keunikan warisan kulinari Malaysia, cita rasa global serta memperlihatkan kecemerlangan industri koko negara.
Dalam pada itu, Ramle sempat mengulas tentang promosi lain yang turut dianjurkan oleh Lembaga Koko Malaysia.
“Baru-baru ini, kami turut mengadakan beberapa siri promosi.
“Salah satunya yang paling besar adalah penganjuran Malaysian International Cocoa Fair 2025 meliputi pameran, promosi dan jualan produk koko.
“Di peringkat antarabangsa pula, kami mengikuti satu program di Osaka, Jepun yang telah memberi peluang pasaran lebih luas bagi produk koko Malaysia,” katanya.
Ramle berharap dengan adanya penganjuran acara tersebut, ia dapat memperluaskan lagi pasaran produk koko dalam penghasilan pastri dan confectionary.
“Ini supaya kita dapat meningkatkan lagi sumbangan koko kepada ekonomi negara. Kita lihat ia semakin meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya. Saya juga berharap, ia akan terus meningkat pada masa akan datang,” katanya.














