KUALA LUMPUR – Rezeki terus mencurah-curah buat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila bakal menerima ganjaran lumayan RM125,000 atas kejayaan menjadi juara dunia.
Insentif tersebut adalah sumbangan daripada syarikat peruncit elektrik dan elektronik, Senheng sebagai penghargaan kepada gandingan No.3 dunia itu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Senheng, Lim Kim Heng berkata, pihaknya bukan sahaja meraikan kejayaan cemerlang itu, malah turut menjadi visi dalam membantu Malaysia meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik.
“Kita bukan sahjaa meraikan kemenangan tetapi juga sebuah visi. Ketika saya pertama kali bertemu Datuk Jack (Koh) pada 2007, kami bersetuju jika Malaysia mahu emas Olimpik pertama, ia perlu bermula dari bawah.
“Maka lahirlah biasiswa SS Junior Badminton Talent. Kami melabur RM12 juta dalam tempoh enam tahun, bukan sebagai perbelanjaan tetapi sebagai pelaburan untuk masa depan Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Penghargaan itu juga bersifat peribadi buat Kim Heng memandangkan Tang Jie sendiri merupakan bekas penerima Biasiswa Program SS Junior Badminton Talent yang ditubuhkan hasil kerjasama Senheng dan Samsung.
Menerusi sumbangan tersebut, Tang Jie akan menerima wang tunai RM100,000 manakala Ee Wei mendapat produk elektronik bernilai RM25,000 menjelang majlis yang bakal diadakan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara Khamis ini.
“Banyak syarikat bercakap mengenai CSR (tanggungjawab sosial korporat). Bagi saya, ini bukan sekadar tanggungjawab kerana ia adalah satu keistimewaan dapat menyumbang dalam membentuk juara,” ujar Kim Heng. – KOSMO! ONLINE














