KOTA BHARU – Dua lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengangkut sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang juga rakan senegara mereka menggunakan dua buah kenderaan di Machang, bulan lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Sajjad Saed Abdul, 27, dan Hameed Gul Mehrab, 32, selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, Sajjad Saed yang kudung tangan kanan didakwa mengangkut lima migran warga Pakistan berusia 20 hingga 30 tahun menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza di bahu lebuh raya pintasan Machang-Kuala Krai, Machang pada pukul 9 malam, 13 Ogos lalu.
Hameed Gul pula didakwa mengangkut empat migran Pakistan berusia 19 hingga 40 tahun menggunakan kereta Perodua Myvi di Kampung Telaga Tujuh, Machang kira-kira pukul 10.10 malam hari sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE














