KAJANG – “Hari-hari adik cakap nak balik, nak main dengan kawan-kawan. Lagi-lagi bila kami sekeluarga balik dari lawat dia, mesti dia menangis.”
Demikian luahan Surya Arifin Mohd. Nasir, 21, mengenai adiknya, Muhamad Firdaus Hakim, 6, yang menjadi mangsa serangan anjing di Taman Megah, Batu 9, di sini pada Rabu lalu.
Menurutnya, meskipun secara luaran Muhamad Firdaus kelihatan ceria dan sudah mampu bermain, namun kanak-kanak itu masih berasa malu apabila menerima kunjungan orang ramai.
“Adik sekarang sedang menunggu tarikh pembedahan seterusnya melibatkan bahagian kepala, selepas sebelum ini sudah menjalani satu pembedahan. Buat masa ini doktor maklumkan tarikh masih belum ditentukan.
“Kalau luka dibersihkan, dia memang sakit, tetapi syukur setakat ini keadaan stabil. Cuma keputusan ujian darah untuk rabies dijangka diketahui hari ini,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Cerita Surya, adiknya itu masih menunjukkan tanda trauma apabila sering menyebut tentang anjing setiap kali tidur.
Terdahulu, seorang kanak-kanak berusia enam tahun dikejarkan ke hospital setelah diserang dan digigit anjing ketika bermain selepas pulang dari taska.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan dari abang mangsa pada pukul 11.41 malam.
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam kenyataan berkata pihaknya telah menghantar kakitangan untuk menjalankan siasatan ke premis pemilik anjing yang menyerang kanak-kanak tersebut.
Menurutnya, anjing yang mencederakan kanak-kanak itu juga telah ditangkap oleh sepasukan Unit Tangkapan Anjing Terbiar MPKj.- KOSMO! ONLINE