GUA MUSANG – Kehidupan masyarakat Orang Asli suku Temiar di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pos Pasik di sini terancam ekoran kehadiran tiga ekor gajah liar yang memusnahkan sumber makanan seperti ubi kayu dan pisang milik mereka.
Penduduk mendakwa, tiga gajah liar sering berkeliaran di tanah pertanian sejak setahun lalu menyebabkan ada keluarga yang terputus makanan dan terpaksa menanggung kerugian.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) RPS Pos Pasik, Jimi Arifin berkata, hampir 1,000 penduduk turut bimbang dengan keselamatan nyawa apabila gajah berkenaan kerap muncul di belakang rumah serta jalan utama ke sekolah.
Katanya, penduduk tidak lena tidur dan hidup dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengawasi keselamatan keluarga.
“Tiga gajah liar itu masih berada di kawasan berhampiran dan mengganggu sekitar kampung sehingga memberi tekanan selain tidur malam kami terganggu.
“Kami bimbang dengan keselamatan anak yang masih kecil dan telah membuat laporan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.
Seorang penduduk, Misbun Arifin, 44, berkata, hasil tanaman ubi kayu yang terletak lebih 10 meter dari rumahnya juga sering menjadi sasaran gajah.
Katanya, mereka bimbang dengan keselamatan diri apabila kerap kali terserempak dengan gajah ketika menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Permai di sini.
“Kami menghantar anak dengan menunggang motosikal.
“Ramai ibu bapa bersama anak yang masih kecil terserempak dengan gajah itu secara berdepan. Jadi kami terpaksa berpatah balik dan lari untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Rabu Arome, 43, berkata, kehadiran gajah itu menyebabkan hidup penduduk tidak tenteram.
Katanya, penduduk terpaksa bertindak sendiri dengan berjaga malam dan menyalakan unggun api bagi menghalau gajah.
“Sudah berulang kali tanaman penduduk dimusnahkan sehingga ada yang berputus asa.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai masalah gajah liar di RPS Pos Pasik.
Katanya, aduan telah dibuat kepada pihak Perhilitan dan pemantauan telah dilakukan di kawasan tersebut.















