MOSCOW – Presiden Russia, Vladimir Putin menolak cadangan Barat untuk menubuhkan pasukan jaminan keselamatan di Ukraine, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Pasukan jaminan keselamatan cadangan Perancis itu akan ditubuhkan sehari selepas mana-mana gencatan senjata berkuat kuasa di Ukraine.
Presiden Emmanuel Macron berkata, sebanyak 26 sekutu Ukraine secara rasmi menyuarakan komitmen untuk menghantar tentera melalui jalan darat, laut atau udara bagi membantu menyediakan jaminan keselamatan sebaik sahaja pertempuran dihentikan.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan negara-negara yang akan terlibat.
Putin bukan sahaja menolak inisiatif itu, malah memberi amaran bahawa mana-mana askar asing yang dikerahkan ke Ukraine akan menjadi sasaran sah tentera Kremlin.
Buat masa ini, harapan untuk mengadakan gencatan senjata di Ukraine tipis selepas sidang kemuncak mengenainya yang berlangsung di Alaska, antara Putin dan Presiden Donald Trump gagal membuahkan hasil.
Pertemuan itu membangkitkan harapan buat seketika untuk rundingan langsung tiga hala yang turut melibatkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan kemungkinan tercapainya perjanjian damai.
Putin bagaimanapun berkata kelmarin bahawa beliau bersedia berkomunikasi dengan pemimpin Ukraine itu.
“Namun, saya tidak nampak manfaatnya. Kenapa? Kerana hampir mustahil untuk mencapai persetujuan dengan pihak Ukraine dalam isu-isu utama,” ujarnya. – AGENSI