PETALING JAYA – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai berlari di atas bumbung sebuah rumah sehingga ‘bocor’ di Taman Sri Tanjung, Semenyih, malam tadi.
Menerusi perkongsian pengguna TikTok Pali Nul, seorang lelaki tidak berbaju berada di atas bumbung rumah jirannya sambil memegang sebilah pisau.
“Dalam pukul 8.30 malam, saya tengah mandi dan terdengar orang menjerit minta tolong atas bumbung rumah. Katanya ada orang nak bunuh dia dan suruh panggil polis.
“Saya terus call (telefon) polis, tapi selepas hampir 2 jam pujuk, dia tetap tak nak turun. Malah ugut nak tikam diri kalau polis datang mendekat,” ujarnya dalam posting TikTok.
Situasi tersebut mengambil masa lebih 5 jam akhirnya berjaya dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba, Kementerian Kesihatan (KKM) dan orang awam, namun beberapa anggota yang cedera kerana terjatuh semasa operasi.
“Bumbung rumah, kereta saya dan rumah jiran-jiran pun ada yang rosak tapi syukur semuanya selamat. Terima kasih PDRM, bomba, KKM dan semua,” tambahnya.
Perkongsiannya itu turut mengundang pelbagai reaksi orang ramai, malah ada yang bersimpati kepada tuan rumah susulan kerosakan yang terpaksa ditanggung.
“Gila betul orang itu. Semoga dipermudahkan urusan tuan rumah dan jiran,” kata Atieqa.
“Bukan mabuk ini, sengaja nak attention (perhatian) lebih,” kata Jia.