Meskipun ada kanak-kanak terlibat dalam kes jenayah, mungkin ramai yang tidak sedar bahawa golongan itu dilindungi oleh undang-undang.
Di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, identiti mereka di bawah 18 tahun tidak boleh didedahkan tanpa mengira jenis kesalahan yang dilakukan.
Bagi kes mahkamah yang dilaporkan media, identiti mereka tidak boleh didedahkan. Ini bermakna, maklumat seperti nama, wajah, dan tempat bersekolah tidak boleh disiarkan.
Menurut peguam Muhammad Amin Abdullah, memelihara identiti kanak-kanak bukan bermaksud kita ‘membenarkan’ kesalahan yang mereka lakukan.
“Matlamat sistem keadilan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 antaranya pemulihan dan integrasi semula, bukan semata-mata untuk hukum.
“Apa yang masyarakat mahukan adalah balasan yang setimpal, tapi kita harus ingat mereka adalah di bawah umur,” katanya.
Jelasnya, jika identiti tersebar, ia akan menjadi beban dan memberi kesan besar kepada pelaku antaranya memalukan mereka hingga menghalang pemulihan.
“Saya percaya walaupun identiti dirahsiakan, mereka tetap boleh dipertanggungjawabkan secara konstruktif oleh sistem keadilan sedia ada tanpa dimusnahkan oleh the court of public opinion,” katanya.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia mengingatkan orang ramai agar tidak mendedahkan identiti lima remaja yang didakwa berhubung kematian Zara Qairina Mahathir.
Kanak-kanak berhak mendapat perlindungan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) termasuk sokongan berasaskan trauma, khidmat perundangan dan layanan adil.
Nama, gambar, sekolah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan diri mereka tidak boleh didedahkan kepada umum.
Seksyen 15 Akta 611 memperuntukkan mana-mana pihak yang menerbitkan maklumat yang boleh mengenal pasti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah boleh dihukum.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut menyuarakan pendapat sama apabila lima remaja dalam kes Zara Qairina tetap dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Lima remaja itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan perkataan mencela dan kata-kata kesat terhadap Allahyarham. Prosiding dilakukan secara tertutup di kamar Mahkamah Kanak-Kanak.
Pertuduhan ke atas lima remaja perempuan itu dikemukakan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Seramai 70 saksi dipanggil untuk memberi keterangan pada prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina, 13. Prosiding itu ditetapkan untuk pendengaran pada 3 hingga 5, 8 hingga 12, 17 hingga 19, 22 hingga 26 dan 29 hingga 30 September ini.
Antara saksi utama yang akan dipanggil untuk memberi keterangan ialah pakar patologi yang bertanggungjawab melakukan proses bedah siasat ke atas jenazah remaja dari Sabah itu yang akan menerangkan mengenai punca kematian mangsa.













