fbpx
AINA terkejut melihat kemunculan model misteri yang mengenakan busana klasik ketika pakaian rekaannya sedang dipentaskan di sebuah hotel di Sarawak. – Ilustrasi Shah Hasan

Kemunculan ‘model’ misteri di pentas fesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI pelajar jurusan fesyen di sebuah kolej, projek akhir semester merupakan detik penting sebelum bergelar graduan.

Detik itu bukan sekadar menonjolkan bakat rekaan, malah dianggap sebagai ujian terakhir untuk membuktikan kreativiti dan kemampuan setiap pelajar.

Bagi Aina (bukan nama sebenar), pengalaman belajar di salah sebuah kolej di Sarawak beberapa tahun lalu masih terpahat jelas dalam ingatannya. 

Ketika itu, projek akhirnya dianjurkan di sebuah hotel yang sudah berusia beberapa dekad. 

Bangunan tersebut kelihatan usang dengan dinding retak, lantai kayu berdecit serta aroma ‘kepam’ yang menusuk hidung. 

Namun bagi pihak kolej, hotel itu dianggap cukup sempurna untuk majlis kecil tersebut kerana memberikan suasana klasik, sesuai dengan tema busana rekaan pelajar.

“Keadaan hotel lama itu memang agak menyeramkan. Namun pada malam itu, saya hanya tumpu pada peragaan fesyen. 

“Rasa aneh yang timbul dalam dada, saya cuba saya abaikan. 

“Sebagai pereka fesyen, saya terlalu sibuk mengatur model-model saya sebelum mereka melangkah ke pentas,” kongsi wanita berusia 27 tahun itu kepada CitaRasa.

Pada malam tersebut, Aina mempersembahkan empat pasang pakaian bertemakan ‘Nostalgia Moden’ yang diinspirasikan dari era 1940-an. 

Rekaan itu merupakan gabungan unsur klasik dan moden dengan potongan tegas, warna lembut serta aksesori ringkas, namun elegan. 

Seperti pereka lain, Aina berdiri di belakang tirai, memerhati setiap langkah model-modelnya. 

Sifatnya yang ‘perfectionist’ membuatkan Aina sentiasa memerhati setiap perincian, daripada lipatan kain, kombinasi warna sehinggalah cara kasut disarung.

Namun tiba-tiba, sesuatu yang pelik berlaku. Di atas pentas, muncul seorang model kelima yang langsung tidak tersenarai. 

Gaunnya diinspirasikan daripada gaya Barat kolonial pada tahun 1940-an, lengkap dengan topi lebar dan kasut kulit klasik. 

Penampilan model itu jauh berbeza daripada rekaan moden oleh Aina. Ketika itu, jantungnya berdegup laju, fikiran penuh tanda tanya.

“Saya ingatkan itu gurauan atau sabotaj daripada pelajar lain. Memang saya mahu tegur selepas proses peragaan habis. Namun belum sempat bergerak, lampu utama tiba-tiba terpadam. 

“Gelap terus dewan. Sunyi sepi, tiada jeritan, tiada bisikan,” ceritanya.

Aina segera keluar dari tirai belakang. Model misteri itu kelihatan berdiri di hujung laluan masuk model, tenang dan seakan menunggu sesuatu. 

Secara tiba-tiba, kedengaran muzik Terang Bulan versi klasik, namun bunyinya pelik, seolah-olah datang dari jauh dan ruang yang asing. 

Lampu suluh kru menyorot ke arah pentas, dan kelihatan model itu bergerak semakin dekat. 

Degupan jantung Aina bertambah kencang, tangannya menggigil, bulu roma meremang, dan rasa sejuk menyelubungi seluruh tubuh.

“Rupa model itu semakin lama semakin rapat, senyumannya makin lebar sehingga hampir terkoyak mulutnya. 

“Saya tutup mata kerana terlalu takut. Saya cuba baca doa, tapi tetap terasa ada sesuatu yang tidak aman dalam dewan itu,” kata Aina.

Tiba-tiba Aina terasa tubuhnya digoncang. Dia terus membuka mata, sebelum mendapati rakan-rakannya telah mengelilinginya.

Aina menceritakan pengalaman itu kepada rakan-rakannya. Namun, kebanyakan mereka menganggap Aina mungkin terlalu penat sehingga berhalusinasi. Namun Aina yakin dengan apa yang dilihatnya. 

“Saya tahu peristiwa seram itu benar-benar berlaku. Saya mungkin antara orang terpilih untuk ‘diusik’ oleh dia,” ujarnya dalam nada serius.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN