MELAKA – Polis Melaka melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM2.3 juta yang dirampas membabitkan siasatan sejak 2007 sehingga pertengahan tahun ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pelupusan dibuat ke atas 87.6 kilogram (kg) dan 42,985 mililiter (ml) dadah pelbagai jenis di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kita juga melupuskan 315.74 kg dan 1,037,488 ml bahan terlarang di bawah Akta Racun 1952.
“Dadah ini adalah hasil siasatan 2,075 kes bagi tahun 2007 sehingga 2025 dan kesemuanya telah selesai perbicaraan di mahkamah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.
Tambahnya, bagi mematuhi piawaian alam sekitar, pelupusan itu dijalankan dengan kerjasama syarikat yang mempunyai kepakaran dan peralatan khas dalam pelupusan bahan berjadual.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu pihaknya sentiasa komited untuk menjalankan tindakan proaktif dalam mengesan dan membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Kami menyeru masyarakat negeri ini agar terus bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE