fbpx
Gambar hiasan.

Vape krisis kesihatan awam, perlu dilabel sebagai racun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penyata Jawatankuasa Kesihatan berhubung Penggunaan Vape Dalam Kalangan Rakyat Malaysia menyarankan larangan menyeluruh terhadap penggunaan vape di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Kesihatan Dewan Rakyat, Suhaizan Kaiat berkata, jawatankuasa itu menegaskan penggunaan vape kini telah berkembang menjadi krisis kesihatan awam yang serius.

Menurut beliau, situasi semasa menunjukkan penggunaan vape di Malaysia semakin meluas melibatkan lebih 1.4 juta orang dewasa dan ratusan ribu pelajar sekolah.

“Produk ini bukan sahaja mengandungi nikotin berkepekatan tinggi, malah dikesan mengandungi logam toksik seperti plumbum, kromium dan nikel.

“Kesan buruk vape merangkumi peningkatan risiko penyakit kronik seperti kanser paru-paru, penyakit kardiovaskular, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) serta komplikasi kehamilan.

“Kos rawatan akibat masalah kesihatan yang berpunca daripada vape dijangka mencecah ratusan juta ringgit setahun menjelang 2030,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suhaizan berkata, cabaran timbul walaupun pelbagai dasar larangan di sekolah dan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852],

Menurut beliau, ia disebabkan promosi agresif industri, pengaruh media sosial, penjualan atas talian serta evolusi peranti jenis ‘open system’ yang mudah dimanipulasikan.

Sehubungan itu, jawatankuasa tersebut mengesyorkan kempen kesedaran awam dipertingkatkan dengan mesej yang jelas tentang bahaya kandungan toksik dalam vape serta pelabelan yang tegas sebagai racun.

Katanya, strategi komunikasi yang lebih agresif perlu dilaksanakan melalui media sosial, penglibatan pempengaruh serta pemasangan papan tanda larangan di lokasi strategik.

Selain itu, kata beliau, langkah pencegahan awal yang komprehensif adalah penting bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ketagihan yang sukar dihentikan tersebut.

“Pengumpulan data saintifik dan klinikal yang sistematik amat penting sebagai asas kepada tindakan larangan di peringkat nasional,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan digesa mempertimbangkan had dan bentuk penggunaan peranti yang lebih terkawal termasuk hanya membenarkan penggunaan vape jenis pakai buang sebagai langkah interim.

Katanya, pewartaan undang-undang baharu yang lebih jelas diperlukan bagi menutup kekosongan kawal selia yang membolehkan penjualan vape terus berleluasa tanpa kawalan ketat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN