fbpx
KETULAN mampat ganja yang ditemukan di kawasan semak di sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar pada semalam.

Ganja RM1.81 juta dirampas di sempadan Malaysia-Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADANG BESAR – Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 60.4 kilogram (kg) dadah jenis ganja yang dianggarkan bernilai RM1.81 juta dalam operasi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sejak Januari lalu.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, seramai empat lelaki warga asing turut ditahan dalam tempoh sama.

“Briged Utara PGA kini sedang meningkatkan rondaan dan pemeriksaan di sempadan utara negara termasuk kawasan berbukit dan hutan bagi mengekang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

“Masyarakat diseru supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kes terbaharu, kata beliau, pasukan operasi Cawangan Risik Batalion 1 PGA Ulu Kinta menerusi Op Taring Wawasan Kedah/Perlis merampas 10 ketulan mampat ganja di bahu jalan dekat sini kira-kira pukul 12.45 tengah malam semalam.

“Semasa melaksanakan rondaan pemantauan risikan di Kaki Bukit menghala ke Wang Kelian, pasukan operasi melihat sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam berada di bahu jalan dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan operasi bertindak menghampiri kereta tersebut sebelum suspek memecut laju melarikan diri ke arah Kaki Bukit. Pasukan operasi bertindak mengejar kereta berkenaan namun tidak berjaya,” ujarnya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan semak di bahu jalan menemukan satu guni berwarna putih yang di dalamnya mengandungi 10 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 10 kilogram bernilai kira-kira RM300,000.

“Kesemua rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI