fbpx
MAJLIS Perbandaran Pontian mengarahkan pasar raya mini di Pekan Nenas diarah tutup 30 hari susulan memasang bendera negeri Johor secara terbalik.

Pasar raya mini pasang bendera Johor terbalik diarah tutup 30 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Pasar raya mini di Pekan Nanas di sini diarahkan tutup selama 30 hari selepas didapati mengibarkan bendera Johor secara terbalik sehingga tular di media sosial.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abdul Azim Shamsuddin berkata, notis penutupan bermula pada hari Isnin dan telah diserahkan kepada pemilik premis berkenaan.

Menurut beliau, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan (MDP) 2019, iaitu berhubung pengibaran bendera.

“Tindakan penutupan ini dibuat mengikut UUK 49(2) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua untuk menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen atau undang-undang kecil.

“Bagaimapun, pemilik premis masih boleh mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh penutupan itu, namun keputusan lanjut tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua MPPn,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam tular video berdurasi satu minit 47 saat di media sosial memaparkan bendera Johor dipasang terbalik di Pekan Nanas sebelum dibetulkan semula.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nenas, Tan Eng Meng berkata, pasukan pemantau khas telah ditubuhkan bagi memastikan pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor di kawasan itu dilakukan dengan betul sempena Sambutan Bulan Kebangsaan.

Jelas beliau, pasukan tersebut melibatkan Ahli Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), ketua kampung serta ketua masyarakat yang akan turun padang memantau premis perniagaan dan rumah kediaman.

“Sekiranya terdapat kesilapan dalam pemasangan bendera, pasukan berkenaan akan terus membantu serta membetulkannya. Kita berharap insiden melibatkan pemasangan bendera secara terbalik tidak berulang dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI