fbpx
Anggota bomba ketika memadamkan kebakaran di sebuah kedai tomyam di Jalan Sungai Ara, malam tadi.

Kedai tomyam terbakar, pelanggan cabut lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Suasana di sebuah kedai tomyam di Kampung Tersusun, Jalan Sungai Ara di sini bertukar panik apabila pelanggannya yang sedang menikmati makan malam terpaksa berlari meninggalkan hidangan selepas premis itu terbakar, malam tadi.

Difahamkan, pelanggan yang terdapat di tiga buah meja tidak sempat menghabiskan makanan yang dihidangkan selepas menyedari kepulan asap dari tingkat atas kedai berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.32 malam.

Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru yang diketuai Komander Operasi yang juga Ketua Balai, Azrul Khairi Abu Bakar.

Operasi tersebut turut melibatkan bantuan keanggotaan dari BBP Jalan Perak dan Paya Terubong.

“Kebakaran telah dapat dikawal pada pukul 9.56 malam dan berjaya dikawal dari kemerebakan ke bangunan bersebelahan, sebelum dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 10.30 malam tadi.

“Lokasi kebakaran kemudiannya diserahkan kepada pihak penyiasatan kebakaran untuk tindakan selanjutnya selepas kerja-kerja ‘overhaul’ selesai dijalankan,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kebakaran hanya melibatkan sebuah unit rumah kedai (restoran) dua tingkat kelas B dengan anggaran peratus kemusnahan adalah 50 peratus.

“Kebakaran berlaku semasa kedai berkenaan sedang beroperasi. Namun, tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI