BINTULU – Seorang lelaki melecur 20 peratus di belakang badan dalam kebakaran yang memusnahkan 19 buah rumah setinggan di tebingan Sungai Batang Tatau, Seberang Pasar Lama Tatau di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkat,a kejadian yang dilaporkan kira-kira pukul 10.08 pagi tadi itu turut menyebabkan seramai 79 orang hilang tempat tinggal.
“Sebanyak 17 buah rumah terbakar 100 peratus dan dua buah rumah berdekatan dilaporkan terbakar 20 peratus akibat bahang api serta terpaksa dirobohkan bagi menghalang kemerebakan api.
“Dilaporkan juga seorang mangsa cedera melecur di bahagian belakang badan dan telah dihantar oleh orang awam ke Klinik Kesihatan Tatau,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dan BBP Bintulu telah dikerahkan ke lokasi, yang kemudian melakukan pemadaman menggunakan empat buah pam angkut dan sumber air dari sungai disebabkan lokasi kejadian tidak dapat dilalui oleh jentera bomba.
Beliau menambah ketika ini, pasukan bomba masih menjalankan operasi ‘overhaul’ bagi memadam sepenuhnya kebakaran. – KOSMO! ONLINE