fbpx
Gambar hiasan

Dewan Rakyat: Hasil cukai negeri disalurkan dalam projek pembangunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, hasil yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan disalurkan kembali kepada semua negeri melalui pelaksanaan projek pembangunan.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, projek pembangunan itu meliputi aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan, pengangkutan dan sebagainya.

Justeru, katanya, sistem federalisme diamalkan ketika ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan terutama berkaitan pengurusan hal ehwal kewangan akan diteruskan.

“Sebagai contoh pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, Projek Membina Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai di Kelantan, Central Spine Road di Pahang dan Kelantan dan projek Landasan Keretapi Berkembar Gemas-Johor,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) sama ada Kerajaan Persekutuan akan berkongsi hasil cukai negeri dalam usaha menyokong pembangunan serta program-program kebajikan dan sosial yang dilaksanakan.

Menjawab soalan tambahan Kon Yeow, Hui Ying berkata, kerajaan tidak berhasrat meminda Perlembagaan untuk membenarkan rombakan ke atas kadar perkongsian sumber cukai Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Jelas beliau, pelaksanaan sistem sedia ada mengenai percukaian akan diteruskan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ujar beliau, pembahagian kuasa percukaian termaktub dalam Perlembagaan adalah ciri fundamental dalam struktur federalisme.

Katanya, ia mewujudkan negara kukuh daripada segi ekonomi dan memastikan pembangunan seimbang antara wilayah serta negeri di Malaysia.

“Kerajaan komited memastikan hasil cukai dikutip Persekutuan diagihkan semula kepada semua negeri termasuk yang mempunyai sumber ekonomi terhad.

“Ini juga melalui pelaksanaan projek pembangunan Kerajaan Persekutuan di negeri yang dibiayai melalui anggaran perbelanjaan pembangunan (DE) disediakan setiap tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI