KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta rejimnya yang terus melancarkan serangan ke atas Gaza.
Anwar berkata, tindakan itu adalah disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan serta melampaui batas kewarasan.
Jelasnya, serangan yang menyasarkan kanak-kanak, wanita, hospital dan sekolah membuktikan Israel sanggup menjadikan kebuluran serta sekatan bantuan sebagai senjata perang.
“Saya sudah berusia 78 tahun, belum pernah melihat, baca dan dengar (mengenai tindakan dilakukan Israel kepada Gaza) zaman ini bahawa ada manusia sekejam itu.
“Netanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman! Zalim! Mereka boleh pertahankan bahawa semua anak-anak kecil (di Gaza) semuanya adalah Hamas. Anak berusia dua tahun yang berlari pun ‘ini Hamas’. Ini penyakit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza, malam ini. – KOSMO! ONLINE