Saudara Pengarang,
Sekiranya melalui kawasan berhampiran Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui jalan pintas, kita pasti akan berjumpa Kampung Bharu Lanjut yang kini semakin berubah dan pesat dengan pembangunan sejak ditubuhkan sekitar tahun 1960-an.
Ketika ini, banyak taman-taman perumahan baharu dibangunkan disebabkan permintaan tinggi daripada mereka yang bekerja di kawasan Putrajaya dan Nilai, Negeri Sembilan hinggakan sekolah rendah yang ada di situ semakin sesak dengan pertambahan murid setiap tahun.
Menelusuri sejarah penubuhan kampung ini, ia dikatakan diambil daripada pokok lanjut yang merupakan sejenis tumbuhan yang terdapat di hutan Malaysia serta di negara-negara Asean yang lain. Nama botaninya Mangifera Lagenifera Griff.
Pokok Lanjut tumbuh di tebing Sungai Labu. Kebetulan terdapat kuala sungai dari paya kampung Labu Lanjut dan telah menjadi tempat berlabuh bagi sampan-sampan penduduk Kampung Salak Tinggi, Kampung Giching dan Orang Asli ketika itu. Oleh kerana di kuala sungai tersebut terdapat pokok lanjut, maka tempat itu dikenali sebagai Kuala Lanjut.
Apa yang menjadi persoalan adalah selama ini ramai yang mengenalinya dengan nama Kampung Bharu Lanjut, namun sejak akhir-akhir ini terdapat papan tanda yang dipasang tertera Kampung Labu Lanjut.
Berkemungkinan nama Labu Lanjut adalah nama asalnya, tetapi ditukar atas sebab-sebab tertentu. Namun, mengapa ia perlu ditukar sekali lagi sedangkan ramai yang mengenalinya dengan Kampung Bharu Lanjut.
Ini yang membuat ramai pengunjung luar terkeliru disebabkan ada dua papan tanda yang menunjukkan nama yang berbeza. Mungkin pihak-pihak berkenaan dapat memberikan penjelasan berhubung perkara ini.
Lagipun sekolah di kampung ini dinamakan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu Lanjut. Adakah nama sekolah ini juga perlu ditukar kepada SK Kampung Labu Lanjut.
Yang terkeliru
Sepang, Selangor














