PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tujuh negeri sehingga pukul 12 tengah hari ini.
Menerusi hantaran Facebook MetMalaysia, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang itu melibatkan negeri Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang dan Bandar Baharu) serta Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Hulu Perak).
“Seterusnya, Selangor (Klang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang), Putrajaya, Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau) dan Johor (Muar, Batu Pahat, Pontian, Kota Tinggi dan Johor Bahru),” menurut MetMalaysia hari ini.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














