PETALING JAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah merangka pelan tindakan pengurusan dan pengendalian vaksin yang bakal diterima bagi memastikan keseluruhan program imunisasi yang dirangka oleh kerajaan dilaksanakan dengan teratur, mencapai matlamat serta mengurangkan sebarang pembaziran.
Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, melalui Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) ATM berperanan kepada koordinasi bantuan kawalan pergerakan dan logistik seperti bantuan iring kawal pergerakan vaksin dari Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.
Beliau berkata, CITF itu diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) dengan dibantu Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan Timbalan Panglima Tentera Darat.
Tambah beliau, ATM diberi kepercayaan penuh dalam membantu menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu.
“Wakil ATM juga ditempatkan bersama urusetia di peringkat pusat dan negeri bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dan CITF merancang pelaksanaan program imunisasi ini terutama koordinasi bantuan logistik di PSV dan PPV.
“Peranan ATM dari segi bantuan logistik adalah termasuk penstoran/penyimpanan, penghantaran dan juga pengagihan di samping kawalan keselamatan di setiap fasa pelaksanaan program,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Affendi berkata, ATM juga telah merangka pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 peringkat ATM berdasarkan keutamaan yang diberikan kerajaan untuk warganya sebagai penerima vaksin berkenaan.
Katanya, pelaksanaan program ini dapat mengekalkan keupayaan serta kesiagaan ATM bagi memastikan kesejahteraan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara seterusnya mencapai objektif ‘herd immunity’.
“Pelan tindakan ini meliputi aspek strategi pemilihan kumpulan yang layak dengan mengambil kira tahap risiko kebolehjangkitan berdasarkan bidang penugasan serta kawasan berisiko di mana mereka ditempatkan.
“Ini termasuk koordinasi sumber manusia dan latihan anggota kesihatan ATM bagi memastikan proses pengurusan dan pemberian vaksin ini dapat dilaksanakan dengan efisien,” katanya.
Dalam pada itu, Affendi memaklunkan, peranan dan penglibatan aktif ATM dalam program imunisasi itu bakal membantu memperlahan penularan wabak Covid-19 bukan sahaja dalam kalangan warga petugas barisan hadapan malah seluruh masyarakat.
“ATM sentiasa komited dengan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan bagi membantu kerajaan memerangi wabak Covid-19.
“Kerjasama setiap lapisan masyarakat amat diperlukan dalam menjayakan program imunisasi itu seterusnya dapat membendung keseluruhan penularan wabak berkenaan,” jelas Affendi.-K! ONLINE