CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat laporan polis berhubung penghantaran bungkusan mencurigakan kepada pengerusinya melalui sebuah syarikat kurier.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, semakan awal dengan pihak kurier mendapati penghantar tersebut berdaftar menggunakan nama samaran dan nombor telefon tertentu sejak Jun lalu.
“Syarikat kurier berkenaan turut merekodkan sebanyak 55 aduan terhadap penghantar itu, termasuk 18 kes penghantaran barang yang tidak dipesan oleh penerima, manakala 37 kes lagi tidak lengkap atau tidak selesai.
“Bungkusan tersebut telah diminta untuk ditahan oleh pihak kurier bagi siasatan lanjut,” katanya hari ini.
MCMC berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk penghantaran mencurigakan yang boleh menimbulkan ancaman.
“Kami akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan awam dan integriti institusi terpelihara.
“MCMC turut mengingatkan orang ramai agar berwaspada sekiranya menerima bungkusan daripada sumber yang tidak dikenali atau tidak dipesan,” katanya.
Tambah MCMC, jika timbul keraguan, orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi pihak berkuasa atau syarikat kurier untuk pengesahan lanjut. – KOSMO! ONLINE