KANGAR – Tiga warga China dihukum penjara 28 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memecah masuk sebuah rumah di Kuala Perlis, dekat sini pada bulan lalu.
Hukuman ke atas ketiga-tiga tertuduh iaitu Yin Guanghua, 50; Lin Bingde, 54; dan Luo Zhibing, 38, dijatuhkan oleh Majistret, Ana Rozana Mohd. Nor.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa memecah masuk sebuah rumah di Taman Bukit Kubu Fasa 2, Kuala Perlis kira-kira pukul 10.13 malam, 18 Julai lalu dengan tujuan mencuri.
Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana masing-masing mempunyai tanggungan keluarga.
Mahkamah kemudian memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara 28 bulan bermula dari tarikh tangkap.- KOSMO! ONLINE