PONTIAN – Isu Jalur Gemilang dipasang terbalik belum reda. Terbaharu kejadian bendera Malaysia dipercayai dipasang terbalik dikesan di sebuah premis perniagaan di Pusat Perdagangan Pontian atau Tambak, petang ini.
Menurut gambar yang tular di media sosial, sehelai Jalur Gemilang yang dipasang pada tingkap atas bangunan dua tingkat melibatkan sebuah premis dipasang secara terbalik bersebelahan dengan bendera negeri Johor.
Insiden itu menimbulkan sedikit kekecohan apabila beberapa orang awam dipercayai marah dengan kejadian itu.
Bagaimanapun, keadaan terkawal susulan beberapa anggota dari Balai Polis Pontian serta penguat kuasa daripada Majlis Perbandaran Pontian ( MPP) hadir bagi memantau keadaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan Abd. Hamid Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan mengenai kejadian tersebut malam ini.
Sebelum ini kes yang serupa berlaku di sebuah Kedai Perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang, sebuah hotel di Johor dan di SJK (C) Chung Hwa, Port Dickson, Negeri Sembilan.-KOSMO! ONLINE