PENDANG – Seorang wanita terselamat daripada ajal apabila tersedar rumahnya di Felda Sungai Tiang di sini terbakar ketika bangun menunaikan solat sunat tahajud awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, Norhaslinda Jamaludin, 47, yang tinggal bersendirian di rumah pusaka keluarganya sempat keluar menyelamatkan diri.
Menurut bekas juruanalisis komputer itu, biasanya dia bangun pada pukul 2.30 pagi untuk solat tahajud, namun malam tadi mengakui dia sukar melelapkan mata.
“Disebabkan tidak dapat tidur, saya mengambil wuduk dan mula membaca al-Quran sementara menunaikan solat tahajud di bilik tingkat bawah.
“Tiba-tiba saya terdengar letupan dari atas dan api mula membakar dinding serta bumbung. Jadi saya segera berlari keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Cerita Norhaslinda, walaupun mengalami masalah penglihatan dan sukar bergerak kerana lumpuh di bahagian kiri badan akibat tumor otak sejak 15 tahun lalu, Allah masih memberikan kekuatan kepadanya untuk menyelamatkan diri.
“Saya reda apabila kereta jenis Perodua Axia musnah bersama dokumen penting lain, tetapi sedih kerana dua ekor kucing peliharaan ditemukan mati terbakar,” katanya. – KOSMO! ONLINE