PETALING JAYA – RXZ Members menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan penuh penganjuran RXZ Members 7.0 2025 pada kali ini.
Dalam hantaran di Facebook, RXZ Members menganggap peruntukan yang diberikan merupakan penghargaan terbesar buat komuniti itu.
“Setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana titipkan ucapan dengan menyokong penuh penganjuran RXZ Members 7.0 2025 pada kali ini.
“Alhamdulillah, terima kasih PMX dan Kerajaan Madani menghargai kami komuniti RXZ Members serta juga warga permotoran lain di Malaysia secara ammnya. Inilah ada satu penghargaan yang besar untuk kami,” katanya.
RXZ Members juga berharap program yang akan berjalan pada 23 Ogos ini di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu dipermudahkan dan dilancarkan urusan
“Insya Allah, kita semua doakan program ini dipermudah dan dilancarkan urusan dan juga semua ‘rider’ yang hadir selamat sampai di RXZ Members 7.0 2025. Apa-apa pun luncur,” katanya.
Terdahulu kerajaan mengumumkan akan menyalurkan peruntukan awal RM100,000 bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 yang akan berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu, pada 23 Ogos ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan lanjut mengenai keperluan seterusnya akan diadakan bersama pihak penganjur pada minggu hadapan.
Program RXZ Member 7.0 dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 23 Ogos ini di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus.- KOSMO! ONLINE