LONDON – Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton mungkin terpaksa mendapatkan nasihat daripada Sebastian Vettel dalam usaha untuk mengatasi permulaan kariernya yang sukar bersama Ferrari.
Bekas mekanik Scuderia Ferrari, Francesco Cigarini menyataka, Hamilton sedang berdepan masalah sama pernah menghantui Vettel ketika menjadi rakan sepasukan Charles Leclerc.
Hamilton yang menyertai Ferrari pada awal musim 2025, dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera SF-25.
Kesukaran itu memuncak di Grand Prix (GP) Hungary baru-baru ini apabila dia secara terbuka mengkritik dirinya‘tidak berguna’ sekali gus menimbulkan persoalan mengenai perjalanannya kariernya tahun depan.
Menurut Cigarini, masalah utama dihadapi Hamilton berpunca daripada pelarasan jentera yang lebih mengikut gaya pemanduan Leclerc.
“Leclerc lebih suka kereta dengan pelarasan yang sangat teliti, dengan bahagian belakang yang sangat bebas dan memerlukan fokus untuk membawanya.
“Apabila Vettel cuba meniru pelarasan itu, dia akhirnya kelihatan seperti seorang amatur. Saya rasa itulah yang berlaku kepada Hamilton sekarang,” katanya.
Sejak menyertai Ferrari, Hamilton dilaporkan sering mengadu mengenai kestabilan bahagian belakang jenteranya.
Walaupun pada mulanya menggunakan pelarasan sendiri, pemandu Britain itu beransur-ansur beralih kepada arah yang lebih menyamai tetapan Leclerc.
Sehingga kini, pencapaian terbaik Hamilton adalah menduduki tempat keempat, manakala Leclerc telah berjaya meraih lima podium pada musim 2025.
Cigarini percaya jalan penyelesaian bagi Hamilton mungkin terletak pada pengalaman Vettel yang juga rakan baiknya.
“Saya tidak terkejut jika Hamilton menelefon Vettel untuk cuba keluar daripada masalah ini,” ujarnya. – AGENSI














