PETALING JAYA – Ada dalam kalangan pelajar institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) memanggil Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dengan gelaran ‘Daddy Mara’.
Perkara itu diceritakan oleh Asyraf Wajdi berhubung pengalamannya sewaktu bertemu pelajar-pelajar tersebut.
“Kena panggil Datuk, tegur pensyarah kepada pelajar yang memanggil saya Daddy Mara kelmarin. It’s okay, biarlah anak ni panggil saya Daddy asalkan mereka selesa.
“Saya pun tak tahu macam mana melekat gelaran Daddy Mara ni,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, gelaran berkenaan bukan sahaja diberikan oleh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), bahkan di institusi Mara yang lain.
“Bukan sahaja dalam kalangan pelajar MRSM, semalam di UniKL pun sama. Waktu saya terjah IKM, KKTM, GMI, pelajar-pelajar kat sana pun panggil Daddy Mara juga,” katanya. – KOSMO! ONLINE