fbpx
GYOKERES antara penyerang yang memiliki reputasi tinggi kini menyertai saingan Liga Perdana Inggeris bersama Arsenal. - AFP

Prestasi penyerang taruhan kelab EPL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAINGAN Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2025/26 membuka tirainya menerusi aksi Liverpool menentang Bournemouth awal pagi semalam, sekali gus kembali menghangatkan perseteruan para peminat.

Kempen musim lalu menyaksikan Liverpool mengesahkan kejuaraan, Arsenal menamatkan saingan dengan status naib juara secara hatrik, manakala Manchester City buat kali pertama dalam tempoh sedekad gagal memenangi trofi.

Namun, tumpuan pastinya diberikan kepada Manchester United yang melalui musim paling buruk dalam sejarah saingan EPL sejak mula diperkenalkan pada 20 Februari 1992 apabila menghuni tangga ke-15.

Perkembangan itu menjadikan saingan musim baharu cukup hangat disaksikan terutama selepas urus niaga pada jendela perpindahan kali ini dianggap antara yang paling menarik melibatkan kelab-kelab dari England.

Lima pasukan ‘Big 5’ tulen, Arsenal, Chelsea, Manchester United, Manchester City dan Liverpool cukup aktif dalam pasaran dengan membawa masuk ramai muka baharu.

Malah, empat daripada pasukan itu, memberikan keutamaan dengan membawa masuk penggempur baharu kecuali City yang kekal meletakkan harapan untuk digalas oleh Erling Haaland.

Pemburuan kelibat penyerang pada jendela perpindahan kali ini dianggap cukup sengit apabila empat pasukan itu telah mengeluarkan dana sebanyak €261.5 juta (RM1.29 bilion) mendapatkan khidmat Hugo Ekitike (Liverpool), Liam Delap, Joao Pedro (Chelsea), Viktor Gyokeres (Arsenal) dan Benjamin Sesko (Man. United).

Kehadiran semua mereka menyebabkan tumpuan peminat lebih terarah kepada potensi dan kemampuan semua mereka untuk mencipta jaringan dan membantu pasukan masing-masing mendapatkan penamat terbaik untuk saingan musim baharu kali ini.

Chelsea masih kekal dengan DNA mereka berbelanja besar termasuk membawa masuk Delap dan Pedro dengan harapan mampu mencipta kejutan musim ini selepas merangkul gelaran Piala Kelab Dunia.

Liverpool pula tampil berbeza musim ini berbanding musim lalu apabila berbelanja sehingga €293.68 juta (RM1.67 bilion) di pasaran perpindahan termasuk membawa masuk pemain termahal mereka, Florian

Wirtz dengan harga €125 juta (RM615 juta) semata-mata untuk memastikan kejuaraan EPL kekal milik mereka.

Arsenal pula menunjukkan mereka tidak lagi berminat untuk gelaran naib juara buat kali keempat berturut-turut apabila mengeluarkan belanja sebanyak €224.20 juta (RM1.1 bilion) untuk membawa masuk enam pemain baharu dan dilaporkan mereka belum berpuas hati kecuali mendapatkan dua lagi pemain idaman mereka.

Bagaimanapun, projek yang dilakukan oleh Manchester United mengejutkan ramai peminat ketika mereka dilaporkan kehilangan sumber kewangan ekoran faktor kedudukan liga musim lalu serta kegagalan melayakkan diri ke pentas Eropah.

Namun, United masih mampu berbelanja sehingga €229.70 juta (RM1.13 bilion) mendapatkan empat pemain setakat ini dan bersedia untuk berbelanja lebih €100 juta (RM492 juta) pada baki kurang dua minggu sebelum jendela ditutup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN