SEREMBAN – Jumlah pelarian Rohingya di Malaysia pada masa ini dianggarkan hampir 150,000 orang, manakala Bangladesh pula terpaksa menguruskan 1.3 juta pelarian negara Myanmar tersebut sejak konflik berlaku di negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia menerima pelarian tersebut lebih-lebih lagi keadaan di Myanmar tidak memungkinkan kumpulan berkenaan pulang kembali ke negara mereka.
Malah menurutnya, Malaysia kini dalam usaha untuk memastikan ketenteraman dalaman di Myanmar itu dapat diurus serta kembali kepada keadaan biasa melalui pelaksanaan pilihan raya yang menyeluruh serta demokratik.
“Jadi, selagi kerajaan yang dipilih secara demokratik oleh rakyat mereka sendiri itu tidak diadakan, maka selagi itulah masalah Rohingya ini tidak akan dapat kita selesaikan,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Penyerahan Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Lavender Heights, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai permintaan Bangladesh untuk Malaysia membantu negara berkenaan menguruskan pelarian Rohingya yang semakin bertambah di negara berkenaan. – KOSMO! ONLINE