Saban tahun, daerah Mersing di Johor menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara untuk menjalankan aktiviti island hopping berkat kempen tidak henti-henti daripada pihak berwajib.
Dengan kedatangan ramai pelancong, ia dapat meningkatkan taraf ekonomi tempatan dan pendapatan hasil Taman Laut kerana setiap pengunjung diwajibkan membeli tiket RM5.
Kali ini, kami membawa pelancong dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai. Trip ini anjuran Kelab Bilik Guru dan Staf (Kebirus) yang diketuai Cikgu Amiza. Mereka memulakan perjalanan menaiki bas seawal pukul 5 pagi dari sekolah sebelum tiba di jeti Penyabong pada pukul 8.30 pagi.
Seramai 32 orang peserta dalam kalangan guru, staf dan ahli keluarga menggunakan tiga buah bot sepanjang aktiviti ini. Sebelum semua menaiki bot, kami memberikan taklimat keselamatan terlebih dahulu tentang tatacara menaiki bot dan penggunaan jaket keselamatan dengan betul.
Pulau Harimau
Lokasi pertama kami adalah di Pulau Harimau yang mengambil masa 40 minit perjalanan. Setibanya di sana, semua mata terpana dengan pemandangan pulau yang cantik dan air jernih.
Di sini merupakan lokasi pertama untuk snorkelling dan aktiviti air lain.
Namun, aktiviti cliff jumping tidak dilakukan kerana keadaan air surut.

Seawal pagi lagi, berpuluh bot island hopping yang tiba dari jeti Mersing dan Penyabong menderu membelah lautan menuju lokasi ini kerana ia antara tempat paling menarik untuk dikunjungi.
Sepanjang mereka bermain air, mata kami sentiasa memerhati dan peka dengan sebarang situasi supaya tidak berlaku kemalangan. Dalam keadaan ini, keselamatan adalah keutamaan kami sebagai operator bot.
Selepas semua puas bermain air, kami meneruskan lawatan ke lokasi yang seterusnya iaitu Pulau Hujung. Pulau ini terletak berhampiran Pulau Rawa dan Pulau Besar, di mana aktiviti snorkelling dapat diteruskan.
Memanjat Bukit Pulau Layak
Menjelang tengah hari, angin mula menderu kencang dan tiba waktu untuk bergerak ke pulau yang lebih dekat dengan daratan supaya aktiviti dapat diteruskan. Jika tidak, agak berbahaya untuk kami menempuh perjalanan jauh dengan keadaan angin serta ombak kuat.
Kami telah merancang untuk rehat, makan tengah hari dan menjalankan aktiviti memanjat bukit di Pulau Layak.
Pulau ini hanya terletak tiga batu nautika dari jeti Penyabong dan terlindung daripada tiupan angin selatan yang kuat.
Sebelum tiba ke lokasi, kami sempat singgah terlebih dahulu di Kelong Acheh bagi merakam gambar kenangan berlatarbelakangkan kelong yang dahulunya tempat menangkap ikan sebelum diubah suai menjadi tempat pelancongan.
Setibanya di Pulau Layak, kami disambut oleh pembantu yang menjaga pulau tersebut. Kami dikenakan caj RM5 seorang untuk menggunakan bilik chalet dan tandas bagi membersihkan diri serta solat. Namun kos ini telah diserap dalam pakej yang disediakan.
Setelah makan dan berehat seketika, seramai 15 orang peserta sanggup untuk menjalankan aktiviti memanjat bukit untuk melihat pemandangan dari puncak Pulau Layak.
Hanya mengambil masa 20 minit, semua peserta sampai ke puncak dan menikmati bayu laut yang menyegarkan serta melihat sendiri pemandangan laut di sekeliling pulau.
Fishing discovery
Tidak lengkap sekiranya sudah turun ke laut tapi tidak cuba mengambil pengalaman memancing.
Saya telah menyediakan set pancing dan umpan untuk aktiviti terakhir iaitu fishing discovery bagi merasa sendiri aktiviti memancing dan menaikkan ikan.
Lokasi memancing adalah di kawasan tukun tiruan yang telah saya bina sebelum ini. Pada permulaannya, saya memancing secara berhanyut. Namun, disebabkan mereka tidak ada pengalaman memancing, maka agak sukar untuk mengawal umpan kekal di dasar. Oleh itu, saya mengubah teknik dengan cara bersauh.
Selang beberapa ketika, umpan udang yang disuakan dijamah ikan dan menghasilkan double strike ikan kerapu belang. Beberapa ekor ikan daripada spesies ini dapat didaratkan kerana saya berlabuh betul-betul di atas tukun. Kami memang sedia maklum bahawa ikan ini merupakan residen di atas puncak tukun mahupun batu karang.
Oleh kerana ikan kerapu ini sering mengacau umpan, saya mengubah kedudukan bot sedikit jauh dari tukun dan berjaya mendaratkan beberapa ekor kerapu rintek.
Walaupun saiznya tidak besar, namun ikan ini memberikan tentangan yang kuat kerana kami menggunakan set pancing ringan.
Dalam masa setengah jam sahaja, ia sudah dapat membuatkan mereka gembira kerana diberi peluang merasai pengalaman memancing. Ikan yang diperoleh, saya berikan kepada mereka untuk dibawa pulang.
Kesimpulan
Dengan kemajuan teknologi masa kini, semakin ramai anak muda yang lebih mengutamakan peranti digital dalam kehidupan seharian. Maka, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mendedahkan aktiviti luar kepada anak-anak.
Island hopping adalah antara aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan dan rakan sekerja. Ramai operator yang menawarkan pakej melawat pulau dan aktiviti bermain air sahaja.
Namun, saya lebih mendorong pelanggan untuk merasai hampir semua aktiviti laut termasuk memancing.
Mungkin ada antara mereka yang pertama kali memegang joran, ada yang berfikir terlalu sukar untuk mendapatkan ikan dan ada yang tidak pernah melihat ikan hidup didaratkan.
Diharapkan dengan aktiviti fishing discovery, kita dapat melahirkan pemancing generasi seterusnya.
Saya sendiri sudah beberapa kali mendapat tempahan daripada pelanggan untuk memancing selepas melakukan aktiviti ini.














