fbpx
Kejadian bendera terbalik berlaku saban tahun seolah-olah tiada pengajaran yang diambil daripada kes-kes sebelum ini.

Isu bendera: Skrip sama, siri berbeza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Hujung bulan ini, rakyat Malaysia akan meraikan Hari Kebangsaan yang ke-68. Saya percaya tarikh 31 Ogos sentiasa tersemat dalam ingatan hampir seluruh rakyat Malaysia.

Kanak-kanak menjadi kelompok yang paling teruja menyambut Hari Kebangsaan. Setiap tahun, mereka menggayakan pakaian dengan rekaan kreatif bertemakan warna Jalur Gemilang untuk menaikkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kecil ini.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sempena Hari Kemerdekaan bermula dari tadika sehinggalah peringkat kebangsaan. Jalur Gemilang juga sudah mula berkibaran di jalanan, premis-premis termasuk kediaman.

Tahun ini, tema yang dipilih untuk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 adalah Malaysia Madani: Rakyat Disantuni.

Dalam keterujaan kita meraikan hari bersejarah itu, masih ada segelintir pihak yang tidak cakna akan bendera Malaysia. Pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik merupakan kesalahan yang kerap dilaporkan setakat ini.

Kejadian memalukan ini bukan berlaku setahun dua kebelakangan ini, malah sebelum negara dilanda wabak koronavirus sudah ada laporan polis dibuat berhubung kes mengibar Jalur Gemilang terbalik.

Mereka yang bertanggungjawab atas perbuatan itu juga sudah didakwa di mahkamah dan dihukum.

Antara alasan yang diberi adalah bendera dipasang pekerja warga asing dan orang kurang upaya (OKU), selain mendakwa tidak sengaja.

Zaman sekarang, hampir setiap orang memiliki telefon bimbit, jadi kesalahan itu lebih mudah dikesan dan disebarkan di media sosial sekali gus boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni.

Malangnya kejadian ini masih berlaku saban tahun seolah-olah tiada pengajaran yang diambil daripada kes-kes sebelum ini.

Terdapat beberapa akta yang boleh dibuka bagi kesalahan berkaitan Jalur Gemilang iaitu Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Seksyen 504 iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak menyebabkan bangkitan marah dan pecah keamanan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 boleh dihukum denda tidak lebih RM100, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar yang boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Persoalannya, adakah hukuman ini terlalu rendah atau undang-undang yang ada ketika ini kurang berkesan dalam mendidik penduduk Malaysia menghormati bendera Malaysia?

Sekiranya dibiarkan, saya percaya kejadian ini akan berulang lagi pada masa akan datang.

Jalur Gemilang bukan hanya sekadar sehelai kain yang berwarna merah putih biru dan kuning, tetapi ia identiti, maruah, lambang kebesaran dan kedaulatan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN