fbpx
KEJADIAN membabitkan Allahyarham Zara Qairina (kiri) dan Nurly Shahirah menggemparkan negara.

Zara Qairina, Nurly Shahirah satukan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUA kematian dengan cara berbeza, tetapi menyatukan ‘rasa’ seluruh rakyat Malaysia.

Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di Sabah ditemui tidak sedarkan diri kira-kira pukul 3 pagi di tepi longkang asrama. Dia didakwa terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan.

Sementara Nurly Shahirah Azman, 23, yang juga penghafaz al-Quran 30 juzuk antara 15 pelajar yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan bas dan Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu, kira-kira pukul 1.10 pagi.

Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini bersama rakan-rakannya termasuk lebih 20 pelajar yang selamat dalam perjalanan pulang ke kampus dari Jerteh, Terengganu.

Keperibadian gadis ini yang menjadikan al-Quran pendampingnya mendapat perhatian ramai, pemergiannya menghimpun rakyat Malaysia termasuk individu dari luar negara antaranya Indonesia.

Kediaman keluarga Nurly Shahirah juga tidak putus-putus menerima tetamu, mereka mahu melihat sendiri al-Quran tulisan tangan selain menyantuni ibu bapa Allahyarham.

Tidak hanya di situ siapa yang ke Terengganu pasti ‘terpanggil’ menziarahi kubur penuntut UPSI ini, walaupun hampir dua bulan gadis itu pergi.

Sementara itu, kisah adik Zara Qairina menghimpunkan rakyat Malaysia dengan cara berbeza, mencetuskan gelombang solidariti rakyat.

Himpunan aman dengan slogan #JusticeForZara dianjurkan di beberapa lokasi, terutamanya di Sabah. Lagu untuk membangkitkan rasa juga dilancarkan.

Rakyat daripada pelbagai kaum dan latar belakang tampil menyuarakan kebersamaan menuntut siasatan yang adil dan telus.

Kisah pelajar ini bermula dengan luahan ibu mangsa yang menyatakan tidak akan memaafkan pembenci anaknya. Kisah yang masih samar.

Kelmarin, kubur Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol digali semula. Jabatan Peguam Negara memaklumkan, penggalian itu bagi melengkapkan siasatan berhubung kematian remaja tersebut.

Laungan ‘Allahuakbar’ saat jenazah dibawa keluar, dakwaan berbau wangi dan keadaan mayat masih utuh melatari hari penggalian kubur berkenaan.

Apa yang berlaku kepada Zara Qairina adalah simbol kepada cabaran mendapatkan keadilan.

Malah ia menguji kecekapan pihak berkuasa, ketabahan keluarga mangsa serta tanggungjawab masyarakat dalam menyampaikan suara dengan adil.

Kebenaran bukan sekadar mencari punca, tetapi memastikan bahawa setiap nyawa diberi penghormatan sewajarnya.

Sehingga kata putus diperoleh, sesiapapun tidak boleh membina naratif melalui andaian sehingga mendatangkan fitnah dan membawa kerosakan. Jangan kita menambah seterusnya memburukkan keadaan. Doa ‘senjata’ kita. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN