TELUK INTAN – Polis mengesan lima lagi individu bagi membantu siasatan kes merusuh ketika perlawanan bola sepak di Padang Speedy, di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, setakat ini pihaknya menahan tujuh lelaki berhubung kejadian itu untuk tujuan siasatan.
Katanya, kesemua mereka yang berusia 21 hingga 31 tahun itu bagaimanapun dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.
“Lima lagi suspek sedang dikesan bagi melengkapkan siasatan. Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut,” katanya hari ini.
Terdahulu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh susulan pergaduhan ketika separuh masa kedua perlawanan bola sepak di Padang Speedy.
Difahamkan, kejadian pada pukul 5 petang itu bermula apabila seorang pemain melakukan terjahan keras terhadap pemain pasukan lawan sehingga menyebabkan pergaduhan besar selain pengadil turut diserang. – KOSMO! ONLINE