KOTA BHARU – Seorang wanita nyaris tertelan dawai kokot ketika makan kuih donat yang dibeli di sebuah pasar di bandar ini pagi tadi
Mangsa yang dikenali sebagai Ros, 50, berkata kejadian berlaku di rumahnya di Jalan Pintu Pong di sini kira-kira pukul 11.15 pagi.
Menurutnya, kuih donat itu kerap dibeli di pasar berkenaan dan tidak pernah berjumpa dengan dawai kokot.
“Pada mulanya, saya makan sedikit demi sedikit. Ketika kunyahan kali ketiga, saya terasa sesuatu benda tajam dan nyaris tertelan.
“Saya mengeluarkannya dari mulut dan terkejut apabila melihat dawai kokot dalam kuih donat,”katanya kepada Kosmo! hari ini.
Katanya, dia kemudian membuat laporan kepada Jabatan Kesihatan Daerah Kota Bharu di sini.
Sementara itu, pihak Jabatan Kesihatan Daerah Kota Bharu ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan akan memaklumkan kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














