fbpx
AINA tidak menyangka akan melalui peristiwa seram ketika bertugas sebagai anak kapal. – Ilustrasi Shah Hasan

Suara tangisan misteri dalam pesawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INSIDEN seram itu berlaku hampir lapan tahun lalu ketika Aina (bukan nama sebenar) bergelar pramugari junior untuk sebuah syarikat penerbangan terkemuka.

Ketika itu, dia ditugaskan untuk satu penerbangan jarak jauh yang mengambil masa kira-kira 14 jam. Itu juga merupakan pengalaman pertamanya diganggu ‘sesuatu’ ketika bertugas.

Ujar Aina, semua kru kabin bertugas diberikan waktu rehat selama tiga jam yang lazimnya digunakan untuk melelapkan mata sebentar di bunk bed disediakan di dalam pesawat.

“Ketika itu, saya berehat bersama seorang rakan iaitu Zai. Namun akibat terlalu penat, mata saya terus terlelap.

“Tidak lama selepas itu, saya terasa kaki diusik. Namun, saya hanya mengabaikannya kerana menganggap itu usikan oleh Zai.

“Ini kerana, kadang-kadang Zai suka bergurau begitu,” ujar Aina.

Belum sempat tidur lena, telinga Aina pula seperti ditiup oleh seseorang beberapa kali. Disebabkan itu, Aina membuka matanya lalu menoleh ke sisi. Namun, tiada sesiapa di situ, sekali gus menyebabkan dia mula berasa takut.

Namun, rasa penat lebih menguasai diri Aina sehingga mendorongnya untuk kembali berbaring dan melelapkan mata.

Beberapa minit kemudian, dia terdengar bunyi seperti orang menangis dari ruangan kargo pesawat. Situasi itu menyebabkan bulu romanya meremang sehingga menyebabkan dia membatalkan hasrat untuk tidur.

“Tempat tidur saya terletak betul-betul di sebelah ruang kargo pesawat.

“Suara tangisan itu kedengaran sayup-sayup sahaja. Oleh kerana suara itu datang dari arah ruangan kargo, saya mula rasa seram kerana tiada orang di situ,” katanya.

Di katil sebelah, Aina ternampak Zai yang sedang berbaring membelakanginya. Kemudian, dia terus mengejutkan rakannya daripada lena sebelum menyoal Zai sama ada dia mendengar bunyi tangisan itu atau tidak.

Namun, wanita itu hanya mendiamkan diri, barangkali masih mamai. Memandangkan matanya sudah segar, Aina terus pergi ke tandas untuk mengemaskan semula ikatan rambutnya yang mula longgar.

Ketika itu, dia terlihat Zai sedang bersiap sedia untuk menghidangkan makanan kepada para penumpang.

“Di hati saya, terdetik rasa terkejut kerana Zai sedang tidur di sebelah saya tadi. Cepat betul dia kembali bertugas untuk menyediakan makanan.

“Apa yang menjadikan suasana lebih menyeramkan apabila Zai memberitahu bahawa dia tidak turun ke ruang rehat langsung sepanjang syif itu,” kata Aina.

Setibanya pesawat di destinasi, Aina menceritakan peristiwa seram tersebut kepada beberapa kru lain. 

“Alangkah terkejutnya saya apabila mendapat tahu bahawa di dalam ruang kargo pesawat itu ada mayat yang diterbangkan untuk dikebumikan di destinasi dituju,” ujarnya.

Sehingga kini, insiden seram itu masih tidak dapat dilupakan oleh Aina sepanjang bergelar anak kapal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN