fbpx
Iskander (tengah) berkata, idea menghasilkan filem indie Angkat datang daripada pengalaman kisar benar.

‘Mayat nenek dalam van jenazah, saya jual insurans nyawa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Diangkat ke layar lebar mengambil inspirasi daripada kejadian benar, penerbit filem indie berjudul Angkat iaitu Iskander Azizuddin sentiasa bersedia sekiranya naskhah tersebut menerima kritikan hebat penonton.

Iskander berkata, Angkat arahan Feisal Azizuddin yang menjadikan jenazah sebagai subjek penceritaan berlaku pada dirinya sewaktu kehilangan arwah nenek tersayang tidak lama dulu.

“Saya dapat idea buat filem ini ketika arwah nenek meninggal dunia. Waktu itu, kami dalam perjalanan nak kebumikan arwah dan jalan raya cukup sesak.

“Terfikir pada waktu itu, apa jadi kalau van jenazah rosak ketika dalam perjalanan. Saya gunakan apa yang terlintas dalam fikiran untuk menghilangkan rasa sedih.

“Saya ingat lagi ketika itu berlaku, saya cuba untuk jual insurans nyawa kepada adik-beradik. Tapi, mereka tak ambil pelan saya,” ujar Iskander usai tayangan perdana filem bernuansa komedi gelap terbabit di ibu negara semalam.

Menjawab tentang kemungkinan filem tersebut menjemput pandangan serong sebilangan audiens kerana umpama mempermainkan jenazah atau mayat tidak bernyawa, Iskander berkata, dia terbuka untuk menerima sebarang kritikan.

“Kita memang dah bersedia. Bila letak filem di domain awam—ada yang suka, ada yang takkan suka. Filem kami tidak sempurna.

“Kita akan sentiasa berusaha untuk melahirkan cerita yang baik. Sentiasa terbuka dengan kritikan dengan cara positif.

“Waima tak semua panggung main filem kami, tidak mengapa usahakan ini akan diteruskan kerana kita akan cuba mengubah masalah menjadi peluang. Itulah cara filem indie meneruskan survival,” katanya lagi.

Tambah Iskander, ketika filem Angkat dipertonton kepada pihak penyiar atau broadcaster, ada yang tidak bersetuju dengan mesej tersurat naskhah yang sepertinya menyokong visual menyeksa jenazah.

“Tak perlu saya dedahkan nama broadcaster, tapi ketika tunjukkan filem ini, ada panel yang sedikit ‘patuh syariah’. Dia kata tak boleh tolong siarkan karya ini.

“Dia berpendapat, filem kami memaparkan banyak adegan mayat atau jenazah diseksa—mungkin akan beri mesej yang tak baik kepada audiens.

“Kami faham niat broadcaster itu tapi mereka tolong juga untuk promosi filem ini secara offline. Ini filem bergenre komedi gelap, itu yang audiens patut faham,” jelasnya.

Angkat dibintangi ramai pelakon berbakat besar termasuk Firdaus Karim, Sky Iskandar, Sara Mack Lubis dan Syazani Zikry mula ditayangkan di pawagam terpilih seluruh negara bermula 14 Ogos ini.

Buat pertama kali dalam sejarah filem Malaysia, tiket filem berkenaan akan dijual pada harga istimewa iaitu RM10 bagi semua tiket yang dibeli antara 1 hingga 13 Ogos 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI