SAYA ingin bertanya, sejauh manakah ibu bapa tidak boleh masuk campur urusan rumah tangga anak-anak? Bagaimana sekiranya anak sering dipukul oleh suaminya dan suami sering menganiaya isterinya, adakah ibu bapa tiada hak untuk mencampuri urusan pernikahan anak-anaknya? Adakah salah dan berdosa sekiranya ibu bapa meminta anaknya berpisah dalam situasi tersebut?
JAWAPAN: PADA asasnya, hubungan dan tanggungjawab seseorang anak kepada ibu bapa, sama ada lelaki atau perempuan, tidak terputus apabila mereka berkahwin. Seorang anak itu, sama ada lelaki atau perempuan, wajib berbuat baik kepada ibu bapa, mentaati dan mengelakkan diri daripada melukakan hati mereka. Firman Allah:
“Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.” Surah Al-Nisa’ (36)
Hak dan tanggungjawab anak kepada ibu bapa itu begitu penting sehingga diletakkan selepas tanggungjawab kepada Allah di dalam al-Quran. Tanggungjawab itu begitu penting sehingga terdapat hadis-hadis Rasulullah yang menerangkan keutamaan apabila bertembung antara kasih sayang kepada pasangan dengan ketaatan kepada ibu bapa, hendaklah diutamakan yang kedua.Kesetiaan kepada ibu bapa melebihi isteri.
Daripada Hamzah bin Abdullah bin Umar, daripada ayahnya, yang berkata: “Pernah aku berkahwin dengan seorang perempuan, tetapi Umar tidak menyukainya. Lantas beliau berkata kepadaku: “Engkau ceraikanlah dia.” Aku enggan, lalu Umar berjumpa Rasulullah berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguh Abdullah bin Umar berkahwin dengan wanita yang aku tidak suka. Lalu aku suruhnya bercerai darinya tetapi dia enggan.” Maka bersabda Rasulullah
“Wahai Abdullah bin Umar! Ceraikanlah isterimu dan taatilah ayahmu.” Menurut Imam Ali al-Qari, arahan Nabi di atas bermaksud sunat atau wajib sekiranya ada faktor lain yang berbangkit. Rujuk Mirqah al-Masobih (7/3097)
Menurut Syeikh Ahmad Hutaibah (ulama dari Iskandariah, Mesir) dalam Syarh Riyadhussolihin (14/13) yang ditanya adakah hadis ini memberikan kuasa mutlak kepada ibu untuk meminta anaknya menceraikan pasangannya, maka beliau menjawab:
“Tidak, ibu dan bapanya tidak seperti Umar al-Khattab. Beliau mencintai Allah Azza wa Jalla dan beliau mencintai sesiapa kerana Allah SWT. Jika beliau membenci nescaya bencinya kerana Allah SWT. Oleh itu, siapa yang (ibu bapanya) berkeperibadian seperti Umar, maka hendaklah ditaati dalam urusan ini.
Oleh itu, tidak menjadi kesalahan bagi ibu bapa untuk cakna kebajikan anak mereka sekalipun selepas berkahwin, sama ada anak lelaki atau perempuan. Isu yang kedua, berkenaan menantu yang suka memukul dan menganiayai anak perempuan. Maka kami katakan di sini, suami tidak mempunyai hak untuk memukul sehingga mencederakan isteri, apatah lagi menganiayainya.
Justeru, menjawab juga isu ketiga, adakah ibu bapa berdosa menyuruh anak mereka agar bercerai kerana wujud darar Syarie kepada anak tersebut jika masih mengekalkan hubungan perkahwinan dengan pasangannya? Maka jawapannya juga adalah tidak berdosa.
Kesimpulannya, kami berpendapat bahawa ibu bapa mempunyai hak untuk menasihati anak-anak berkenaan urusan rumah tangga mereka, tertakluk kepada hukum-hukum yang diperuntukkan dalam Syariah Islam. Mereka juga bertangungjawab sama seperti orang Islam yang lain untuk melakukan amar makruf nahi mungkar apabila melihat suatu jenayah dilakukan terhadap seseorang khususnya terhadap anak mereka sendiri.
















