MACHANG – Seorang buruh yang dipercayai membunuh bapanya dengan kerusi kayu di rumah mereka di Kampung Kuala Gris, Kuala Krai dekat sini direman tujuh hari.
Perintah reman yang bermula hari ini hingga Rabu depan terhadap lelaki berusia 39 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Amal Razim Alias. Tahanan reman itu bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 9.15 pagi dengan diiringi anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang warga emas maut selepas dipercayai dipukul dengan kerusi kayu oleh anaknya ketika sedang menunaikan solat subuh dalam kejadian di Kampung Kuala Gris dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Othman Jusoh, 74 meninggal dunia di rumah tersebut akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat dilaporkan berkata, ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
Menurutnya, lelaki itu merupakan bekas banduan Penjara Satelit Batu Jong, Kuala Krai selepas ditahan atas kesalahan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














