KUALA KRAI – Suspek yang dipercayai memukul bapanya dengan kerusi kayu di rumah mereka di Kampung Kuala Gris, di sini positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, lelaki yang berusia 39 tahun itu merupakan bekas banduan Penjara Satelit Batu Jong, Kuala Krai selepas ditahan atas kesalahan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, suspek keluar dari penjara pada awal bulan lalu dan tinggal bersama mangsa dan ibunya.
“Semakan awal mendapati, suspek memiliki tujuh rekod lampau iaitu lima kesalahan melibat kes dadah dan dua kes ugutan jenayah.
“Polis berjaya menangkap suspek dan telah merampas sebatang serpihan kerusi yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini esok untuk permohonan reman.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang warga emas maut selepas dipercayai dipukul dengan kerusi kayu oleh anaknya semasa sedang menunaikan solat subuh dalam kejadian di Kampung Kuala Gris, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Othman Jusoh, 74, meninggal dunia di rumah tersebut akibat kecederaan parah pada bahagian kepala. – KOSMO! ONLINE