PETALING JAYA – Tular di media sosial ucapan ‘tahniah’ buat rakan Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, dikenali sebagai Yasmin yang dikatakan membongkarkan cerita sebenar.
Tinjauan di media sosial mendapati rata-rata orang ramai mengucapkan tahniah kepada Yasmin yang tampil ke hadapan sebagai saksi berhubung kes Zara.
“Tahniah Yasmin, langkah berani ini bukan mudah. Suaramu boleh membuka kebenaran, menyelamatkan nyawa lain dan memberi keadilan kepada Allahyarham,” kata M Jay.
“Semoga ada sinar buat adik Zara, untuk adik Yasmin, terima kasih,” komen Zakaria.
“Yang ada dekat dengan Yasmin, tolong lindungi dia. Sekiranya benar, dia satu-satunya saksi yang boleh bagi keterangan apa sebenarnya berlaku,” komen Calvin.
Difahamkan Yasmin mendedahkan punca kematian Zara. Bagaimanapun, tiada kesahihan mengenai perkara itu.
Sebelum ini, orang ramai meminta Yasmin supaya tampil sebagai saksi bagi membantu kes kematian pelajar tingkatan satu tersebut.
Ia selepas tular satu rakaman suara Zara dan ibunya, Noraidah Lamat, 45, yang mendapat perhatian ramai.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah itu meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama pada pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke hospital oleh pihak sekolah.
Ibu mangsa dalam satu kenyataan memaklumkan kubur anaknya perlu digali semula dengan segera bagi membolehkan bedah siasat dijalankan untuk menentukan punca kematian remaja itu. – KOSMO! ONLINE