fbpx
Nor Shakirah (dua dari kiri) bersama rakan-rakannya minum air ketika berdepan dengan musim cuaca panas ketika ditemui di Baling semalam.

Cuaca panas ancam kesihatan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Cuaca panas yang me­landa ketika ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan segelintir penduduk, malah mendatangkan ancaman kepada kesihatan seperti demam, sakit kepala, pening, batuk dan keletihan.

Keadaan itu membuatkan me­reka terpaksa berada di dalam rumah lebih lama untuk mengelak daripada terkena strok haba.

Nor Shakirah Aazelan, 28, ber­kata, dia dan suami, Muhammad Safri, 32 dan anak, Saif Umar, 3, terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Baling akibat diserang demam panas.

Katanya, keadaan itu berlarutan sejak seminggu lalu hingga doktor terpaksa memasukkan ubat melalui dubur anaknya untuk menurunkan suhu badan.

“Demam panas hingga 39 darjah Celsius itu datang sekali de­ngan keletihan, pening dan sakit kepala, batuk serta sakit badan.

“Mereka berdua sudah pulih tetapi saya masih demam dan batuk. Doktor memaklumkan ia disebabkan cuaca panas terik dan faktor sekeliling,” katanya.

Menurut Nor Shakirah, doktor menasihatkannya supaya tidak terdedah cuaca panas dalam tempoh yang lama, banyakkan minum air masak, kerap mandi dan berehat di rumah.

Julia Ramli, 58, pula berkata, dia juga mengalami demam teruk kerana banyak melakukan aktiviti di luar.

“Bertambah parah apabila as­ma turut menyerang. Saya rasa ia disebabkan musim panas dan durian,” katanya.

Cuaca panas di beberapa daerah di negeri ini termasuk di Ba­ling dan Kulim sedikit berkura­ngan selepas hujan kelmarin.

Di Ipoh, demam dan strok haba pada musim panas menghalang segelintir warganya keluar mencari rezeki.

Seorang bidan, Zuhairah Salleh, 39, berkata, dia dan ahli keluarganya mengalami demam dan strok haba sejak beberapa minggu lalu.

“Saya terpaksa menolak upah mengurut wanita bersalin dan kerugian beberapa hari. Saya perlu kekal sihat dan mengamalkan pemakanan seimbang ketika musim panas,” katanya.

Menurut Zuhairah, anaknya terpaksa dicutikan beberapa hari kerana bimbang demam berjangkit di sekolah.

Mohd. Roslan Saleh, 38, pula berkata, dia terpaksa cuti beberapa hari selepas ahli keluarganya jatuh sakit seperti demam, batuk dan selesema.

Katanya selain isteri, anaknya yang berusia 11 tahun juga me­ngalami strok haba ketika pulang dari sekolah minggu lalu.

Sementara itu, Pengerusi Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A. Sivanesan meminta semua aktiviti di sekolah ditangguhkan sementara.

“Cuaca akan berubah selepas September. Ketika ini, tangguhkan dulu aktiviti di luar bilik darjah,” katanya.

Menurut Suvanesan, orang ramai dinasihatkan meminum air secukupnya dan mengatur jadual bekerja lebih awal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN